Thursday, July 17, 2008

Sesi Soal Jawab

anwar-pc.jpg


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Walaupun disiasat melebihi lima jam dan ditahan reman semalaman, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak diberikan salinan laporan polis bekas petugas sukarela pejabatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar berkata, setiap kali beliau bertanya berkaitan salinan laporan polis itu, pihak polis memberikan pelbagai alasan dan mengelak untuk memberikannya.

“Apabila bertanya perkara itu, polis hanya menjawab bahawa mereka diarahkan tidak boleh bagi laporan (kepada Anwar). Siapa yang arah? Timbalan Perdana Menteri atau isterinya, atau ketua polis negara?” soal beliau sambil diringi tawa dari pihak media.

Anwar menegaskan kecurigaan pihaknya terhadap ketulenan laporan polis itu jika salinannya diserahkan polis kepadanya hari ini.

“Mereka mungkin pinda, pinda, pinda. Sampai tak tahu betulkah itu salinan asal si penuduh,” kata beliau di hadapan kira-kira seratus wakil media dari dalam dan luar negara, di rumahnya di Segambut Tengah, petang tadi.

Kesal dengan Bakri

Anwar juga kesal dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang disiarkan Utusan Malaysia, hari ini bahawa polis terpaksa memintas keretanya kerana didakwa enggan menyerah diri dan mengubah haluan kereta di saat-saat akhir.

“Ini merupakan pembohongan besar Bakri bagi menutup malu atas salahguna kuasa polis. Sedangkan saya sudah bersedia memberi kerjasama untuk memberi keterangan seperti mana pada masa yang ditetapkan,” kata beliau.

Anwar turut mendakwa Bakri bertugas atas desakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang ada kepentingan sendiri.

“Beliau (Musa) mempunyai kepentingan sendiri yang bermaksud untuk menganiayai dan membuat fitnah terhadap saya kerana saya mempunyai bukti yang cukup kukuh tentang apa yang dilakukan beliau terhadap saya dalam kes 98-99 dulu,” kata beliau.

Enggan serah DNA, ambil darah

Dalam pada itu, Anwar enggan diambil darah dan melakukan ujian DNA atas nasihat peguam kerana kedua-duanya (DNA dan darah) sudah berada dalam simpanan HKL, selain bimbang berlakunya penipuan.

“Dalam kes 98-99, darah saya telah diambil secara paksa atas arahan Musa dan saya percaya ia masih dalam simpanan HKL,” kata beliau.

Anwar dibawa ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan, malam tadi dan dibebaskan pagi tadi selepas mendapat jaminan bon polis.

Beliau juga telah memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak HKL yang menjalankan pemeriksaan di seluruh badannya, termasuk alat sulitnya dan ‘mengukur apa yang perlu’.

Lokap untuk penjenayah berat

Menceritakan pengalamannya ditahan semalaman, Anwar memberitahu media bahawa beliau diletakkan di dalam lokap bagi penjenayah berat dan diletakkan berbaring di atas simen tanpa sebarang alas.

Bagaimanapun, isterinya, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail membawa sehelai tuala untuk dijadikan alas tidur, pada jam satu pagi.

“Kesan yang dialami itu agak berat, kerana memang dimaklumi saya mengalami sakit belakang. Ini menyebabkan saya terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit sejurus tiba di rumah pagi tadi,” tegas beliau.

Utusan, Kosmo dihalang masuk

Sementara itu, satu jam sebelum sidang media bermula, para wartawan dari pelbagai agensi dalam dan luar negara diperiksa kad media masing-masing sebelum dibenarkan memasuki perkarangan kediaman Anwar.

Wakil dari Utusan dan Kosmo tidak dibenarkan membuat liputan sidang media tersebut, walaupun wakil Kosmo pada awalnya berjaya memboloskan diri.

Anwar turut menyatakan kekesalannya terhadap laporan Utusan Malaysia dan NST berhubung kes beliau yang dianggap sengaja dibesar-besarkan.

“Saya lihat Utusan dan NST tiada keinsafan dalam membuat laporan sejak 10 tahun lalu mengenai kes saya. Mengapa tidak desak kerajaan menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan pembabitan mereka dalam kes pembunuhan Altantuya?

Apabila sesuatu kes itu melibatkan saya, media cuba menjadikannya satu isu besar. Kenapa meletakkan saya sebagai mangsa? Hanya kerana saya berada di pihak pembangkang,” kata beliau lagi.

Sementara itu, di perkarangan kediaman Anwar dipenuhi para penyokong dan rakan-rakan perjuangan bagi menyatakan sokongan padu terhadap Anwar.

Antara pemimpin Pakatan Pakyat yang hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Paduka Husam Musa; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS, Dr Mariah Mahmud; Dr Syed Azman Syed Nawawi; Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

(- tajdid_ Anis Nazri dan Salmiyah Harun )

No comments: