Saturday, November 29, 2008

PKR janji kembalikan kekebalan raja

Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)

PKR bersedia mengembalikan kekebalan institusi diraja jika berjaya memerintah negara sebagai memenuhi semangat Raja Berperlembagaan, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kongres parti itu hari ini.

Mengulangi muafakat bersama yang ditandatangani ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat untuk memberikan komitmen terhadap kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Malaysia dan agama Islam, beliau berkata:

"Malah kita bersedia mengembalikan kekebalan Raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan. Inilah erti sebenar harapan baru yang kita bawa."

Rabu lepas, Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar bertitah supaya kekebalan daripada tindakan undang-undang dikembalikan kepada kerabat diraja bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan sebagai pelindung Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata, perkara itu bukan penting untuk dibincangkan oleh jemaah menteri kerana ia tidak dibangkitkan atau dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

Menjelaskan maksudnya dalam sidang media selepas ucapannya, Dr Wan Azizah berkata beliau bermaksud untuk mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang atau pindaan seperti sebelum pindaan Perlembagaan pada 1983.

Pindaan itu, seperti diamalkan sekarang, memberikan tempoh selama 30 hari kepada Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang dan jika baginda tidak memperkenan, secara automatik rang tersebut diluluskan.

Dalam ucapannya juga, tidak seperti dijangkakan, projek 16 September - peralihan kuasa kerajaan persekutuan yang diusahakan Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak disentuh dalam ucapan Dr Wan Azizah.

Dalam ucapan bertemakan "Harapan Baru", beliau hanya berkata "kita hanya setapak lagi untuk membentuk kerajaan baru."

pkr national congress 291108 wan azizahSemalam, sewaktu merasmikan kongres Wanita dan Angkatan Muda parti itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali menjangkakan isu pertukaran kerajaan akan disentuh oleh Dr Wan Azizah dan Anwar.

Presiden PKR sebaliknya mengkritik pelan peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak, Mac ini.

Isteri Anwar berkata, pelan peralihan itu hanya "membawa kepada sebuah pentadbiran yang mirip kepada regim lama" yang menyebabkan "kemusnahan dahsyat" kebanyakan insitusi pentadbiran dalam negara.

"Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, peralihan ini akan membawa kepada sebuah pentadbiran yang lebih mirip pentadbiran regim lama - meluasnya penggunaan ISA dan rasuah.

"Di mana bawah pentadbiran lamalah berlaku kemusnahan dahsyat kepada kebanyakan institusi pentadbiran dalam negara," katanya di kongres tahunan kelima PKR di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.

Berhubung kebajikan pekerja, Wan Aizah berkata, pengenalan gaji minimum RM1,000 sebulan akan dilaksanakan di negeri tuan rumah kongres itu, Selangor dalam tempoh terdekat.

pkr national congress 291108 pkr leadersBeberapa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut hadir termasuklah Pengerusi DAP Karpal Singh, tokoh-tokoh utama parti Lim Kit Siang dan Teresa Kok, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan setiausaha agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Li turut hadir.

Dewan persidangan di stadium tertutup itu hampir penuh, antaranya dengan hampir 2,000 perwakilan dan 1,200 pemerhati rasmi. Beberapa ratus penyokong turut hadir.

No comments: