Sunday, February 1, 2009

Kenyataan Media Ketua AMKWP Sempena Sambutan Hari Wilayah 01 Februari 2009.


31 Januari 2009
Kuala Lumpur, Malaysia.

Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan .

Tanggal 1 Februari 2009 akan genaplah 35 tahun Kuala Lumpur diisytiharkan menjadi Wilayah Persekutuan. Dalam tempoh tersebut menyaksikan pembangunan pantas Kuala Lumpur sebagai kota pentadbiran Malaysia sehinggalah kini diambil alih oleh Putrajaya.

AMKWP menyanjung tinggi pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai 'kerajaan' yang bertanggungjawab dalam pengurusan Kuala Lumpur sepertimana diucapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam sebuah akhbar harian baru baru ini berkenaan kepentingan DBKL sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan persekitaran yang kondusif dan selesa kepada penduduknya.

Merenung kembali istilah 'kerajaan' yang digunakan Datuk Bandar, AMKWP ingin mengingatkan kepada warga kota tentang bagaimana sekiranya istilah 'kerajaan' ini benar benar wujud. Menuju ke arah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang menjadi panduan pembangunan Kuala Lumpur, AMKWP percaya 'kerajaan' ini perlu ada secara realiti berpaksikan kepada pilihan rakyat.

Pilihanraya umum ke 12 Mac 2008 menyaksikan seluruh negeri secara demokrasi mengundi memilih wakil rakyat mereka termasuklah warga Wilayah Persekutuan sendiri. Keputusannya telah diketahui umum bahawa daripada 13 kerusi parlimen dalam Wilayah Persekutuan , Pakatan Rakyat telah memenangi 10 kerusi manakala 3 kerusi lagi milik Barisan Nasional.

Jelas disini rakyat telah memilih kepimpinan Pakatan Rakyat sebagai pilihan mereka untuk mentadbir 'kerajaan' Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun, AMKWP terkilan kerana kerajaan pusat telah melantik Menteri Wilayah Persekutuan dari kalangan mereka yang bukan pilihan majoriti rakyat. Apakah dasar ' kerajaan' yang mereka amalkan ? Berpaksikan kepada rakyatkah 'kerajaan' ini ?

Sempena dengan ketibaan hari Wilayah Persekutuan ini, AMKWP meminta agar kerajaan pusat melihat kembali dasar pentadbiran mereka di Wilayah Persekutuan. Sekiranya mereka sedar bahawa warga kota sebenarnya yang menjadi tulang belakang kejayaan dan pembangunan yang dikecapi, maka hormatilah keputusan warga kota untuk memilih kepimpinan mereka.

"Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2009"

Haji Md Zaman Md Tasi
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Wilayah Persekutuan .

No comments: