Sunday, November 15, 2009

Dialog Isu Semasa Berjaya

Sentul (14 November 2009) : Sesi dialog isu semasa bersama YB Nik Nazmi Nik Ahmad telah berlangsung dengan jayanya di Pejabat Keadilan Cabang Batu pada jam 5.30 petang. YB Nik Nazmi yang tiba pada jam 5.15 petang mengambil kesempatan berkenalan dengan hadirin yang terdiri dari Exco AMK Cabang Batu terlebih dahulu.

Sesi dialog ini dipengerusikan oleh Rozan Azen Mat Rasip selaku Ketua AMK Cabang Batu. Kehadiran YB Nik Nazmi turut ditemani oleh Pembantu Peribadi beliau iaitu En Saifullah. Beberapa persoalan telah ditimbulkan oleh hadirin yang menyentuh pelbagai isu antaranya mengenai hasil lawatan beliau ke Amerika Syarikat dan United Kingdom baru - baru ini, isu - isu yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Selangor seperti isu JAIS dan Dr Asri, isu masyarakat India Negeri Selangor dan bagaimana persediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mempertahankan kerajaan pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Turut disentuh ialah konvensyen PKR yang sedang berlangsung kini serta khabar angin tentang kewujudan regu - regu tertentu dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada tahun depan. Semua pertanyaan yang diutarakan, dijelaskan satu per satu oleh YB Nik Nazmi dan dilihat berjaya memuaskan hati semua hadirin.

Ketua AMK Cabang Batu melihat dialog ini sebagai berjaya dan sesi ini akan diteruskan pada bulan depan. Dialog selanjutnya akan menampilkan Shamsul Iskandar Mat Akin iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Dialog bersama beliau akan dianjurkan selepas Hari Raya Aidiladha nanti InsyaAllah.

No comments: