Tuesday, March 23, 2010

Isu Tanah TNB: Jawatankuasa Dibentuk

Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk membentuk jawatankuasa bersama dengan penduduk kampung baru Rawang untuk mencari penyelesaian dalam pertikaian melibatkan tanah di situ.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa itu dicapai pada pertemuan dengan sepuluh wakil penduduk kampung dan lapan pegawai TNB, dipengerusikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah exco kerajaan tempatan Ronnie Liu, ahli parlimen Selayang William Leong dan wakil rakyat Rawang Gan Pei Nei.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa bersama itu timbul berikutan tindakan TNB mengancam untuk meruntuhkan perkampungan berkenaan pada Isnin lalu, bagi membina menara kabel rentangan tinggi.

Operasi merobohkan kampung berkenaan bagaimanapun dibatalkan pada saat terakhir apabila penduduk menghalang pihak berkuasa memasuki tanah berkenaan.

Berikutan ini, kerajaan mengumumkan operasi tersebut ditangguhkan bagi membolehkan rundingan hari ini dijalankan.

Pada kejadian dua hari lalu, lebih 200 orang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang TNB daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Kes berkenaan pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu dan mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat.

Apabila siap kelak, projek yang membabitkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: