Tuesday, March 16, 2010

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Langkap ditembak mati

Ketua Pemuda Penyokong PAS mati ditembak

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Panthiyan a/l Patchamuthu mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta miliknya di Langkap, sebentar tadi.

Dua das tembakan dengan satu mengenai kepala dan dada mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian jam 3 petang tadi.

Difahamkan, suspek menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu datang ke kedainya lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat.

Mangsa yang berusia 34 mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa yang berada di kedai itu tidak dicederakan.

Dalam pada itu, pihak Polis Daerah Hilir Perak meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi talian 05-6212222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Husain bagi pihak pimpinan dan ahli-ahli seluruh negeri merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang atau lebih dikenali sebagai Siva.

Katanya, bagi PAS Perak, mendiang merupakan seorang yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sebagai Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS negeri, juga sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pasir Salak, selain itu mendiang juga dikenali sebagai pemuda yang mempunyai akhlak yang baik dan disenangi oleh masyarakat setempat.

Mendiang juga, katanya banyak berperanan dalam menarik minat masyarakat bukan Islam untuk bersama menyertai Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak.

"Kami berharap agar seluruh ahli keluarga mendiang bersabar di atas kematian mendiang. Kami menyifatkan kematian mendiang sebagai satu
kehilangan yang besar serta amat dirasai didalam arena politik negara khususnya dalam Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS negeri pula mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap Siva itu.

Naib ketuanya, Salman Saleh merakamkan rasa yang amat sedih dengan berita yang telah dilaporkan kerana cara pembunuhan tersebut amat kejam dengan dua das tembakan yang mengenai kepala dan dada mangsa.

Oleh yang demikian, beliau meminta pihak polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan kejam tersebut.

Pihaknya juga, kata beliau meminta ahli keluarga mendiang dan semua Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak bersabar serta tenang dan berhati-hati dengan suasana yang berlaku itu.

Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/126589

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Langkap ditembak mati
Mac 15, 10 5:31pm

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Cawangan Langkap, hari ini ditembak mati di kedai mencuci keretanya di Jalan Chui Chak, Langkap, 90 kilometer dari Ipoh.

Pada kejadian jam 3 petang itu, lelaki yang dikenali sebagai P Panthiyan, 34 ditembak oleh dua lelaki dari jarak dekat.

Ia dipercayai angkara dua lelaki bermotosikal yang disyaki pembunuhan upahan yang mendekati mangsa dan terus melepaskan tembakan.

Dalam pada itu Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.

Beliau yang dihubungi di pejabatnya hari ini berkata, kejadian berlaku kirakira pukul 3 petang tadi, ketika mangsa berada di kedainya itu dan dihampirioleh seorang lelaki lalu melepaskan dua das tembakan ke arah kepala mangsa.
Ketika kejadian, tiga anggota keluarga mangsa berada di kedai itu,
bagaimanapun mereka tidak dicederakan.
Katanya, mangsa tersungkur di lantai sebaik ditembak dari jarak dekat.
Dua suspek memakai topeng dan topi keledar dikatakan melarikan diri ke arah Kampar dengan menaiki sebuah motosikal yang dipercayai mengunakan nombor pendaftaran palsu.

Operasi memburu mereka sedang dilancarkan.

Siasatan juga mendapati mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Polis masih menjalankan siasatan dan belum mengetahui punca kejadian tetapi tidak menolak ia berpunca akibat balas dendam.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supayamenghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di nombor telefon 05-6212222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Perak mengutuk pembunuhan kejam berkenaan.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata parti itu amat sedih kerana cara pembunuhan itu amat kejam dengan dua das tembakan yang satunya mengenai kepala dan dada yang mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Oleh yang demikian, kami meminta pihak polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan kejam tersebut. PAS juga meminta ahli keluarga mendiang dan juga semua ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak supaya bersabar serta tenang dan berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan media.

No comments: