Wednesday, March 10, 2010

SELAMATKAN MALAYSIA: ANWAR DALAM BICARA

Oleh: Amin Ahmad

Bicara tangguh. Anehnya, penangguhan ini digesa hakim ketika peguam bela DS Anwar sudah bersedia untuk menyoal balas Saiful Bukhari. Bertambah aneh bila Saiful sendiri menunjukkan ketidak-sediaan dirinya untuk disoal-jawab. Sebelum ini, dia beria-ria memukul canang bahawa DS Anwar melengahkan kes, namun jelas ternampak kini dia tidak yakin.

Kempen kerajaan mula bertukar corak. Saya fikir tekanan antarabangsa kini mula mengambil tempat. Sebahagian segmen dalam dalam UMNO-BN (sebenarnya hanya UMNO yang obses mahu DS Anwar didapati bersalah!) cuba bermain ‘kad biasa’ Dr. Mahathir iaitu dengan menjadikan ruang suara masyarakat luar ini sebagai satu pengalihan. Sentimen patriotik cuba dijana melalui hentaman demi hentaman kepada desakan luar daripada apa yang mereka mahu gambarkan ‘campur tangan Barat’ dalam kes DS Anwar.

Apa yang mereka tidak berani sampaikan kepada rakyat ialah sokongan ramai ulama’ dan pimpinan muslim antarabangsa kepada DS Anwar. Mereka sedar bahawa jaringan antarabangsa di kalangan pemimpin dan ilmuan Islam tidak sedikit kepada DS Anwar. Suka atau tidak, DS Anwar telah membina jaringan ini jauh lebih awal berbanding jaringannya di dunia ‘Barat’.

UMNO-BN tahu bahawa tekanan Barat ini tentu saja boleh memberi impak, khususnya dalam aspek ekonomi. Sebahagian segmen dalam UMNO khususnya tidak akan memahami magnitud tekanan ini kerana selama ini mereka memeras dana Petronas yang tidak dibentangkawan di Parlimen untuk melindungi segala bentuk salah urus-tadbir, ketidaktelusan dan pengabaian mereka akan prinsip pertanggungjawaban.

Dalam realiti ekonomi yang menekan buat masa ini, mereka tahu pilihan yang ada tidak banyak. Maka, dengan tindakan politik yang silap beerti mereka sedang menggali kubur mereka sendiri.

Saya mula mengesan sejak beberapa waktu kebelakangan ini, beberapa penggerak UMNO cuba memberi gambaran bahawa isu tuduhan DS Anwar terhadap Saiful adalah isu peribadi mereka dan kerajaan tidak ada kena mengena dengannya.

Untuk saya, ini adalah taktik mula mereka bagi menjarakkan diri daripada terus berdepan dengan persoalan rakyat. Saya tidak pasti sejauh mana parti komponen lain menyumbang kepada sikap terkini yang cuba dipamerkan UMNO.

Saya fikir UMNO cukup sedar bahawa pada tahun 1999, kenyataan Dato’ Azmi Khalid, Menteri mereka pada waktu itu jelas menerangkan bahawa 65% undi orang Melayu telah berpihak kepada Barisan Alternatif. Ya, UMNO bertahan mengepalai kerajaan BN pada tahun 1999 dengan undi majoriti daripada masyarakat bukan Melayu! Saya tidak pasti sama ada pada waktu itu SS Mufti Perak ada mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tersebut haram!

Dalam realiti undi masyarakat bukan Melayu memihak kepada Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008, saya fikir UMNO-BN tahu magnitud isu DS Anwar boleh memberi padah kepada mereka.

Suka atau tidak, DS Anwar akan dibicarakan di dalam dan di luar mahkamah. Saya adakalanya mahu tertawa lucu mengenang kesungguhan UMNO-BN mewar-warkan bahawa “DS Anwar sudah tidak relevan” sebelum ini. Saya kira, semasa era 1970-an, ketika pemimpin pelajar jauh lebih ramai dan berani (berasaskan nisbah pelajar dan kegiatan mereka), Kamaruzaman Yaacob sendiri gagal memisahkan pengaruh DS Anwar sehingga menamakan bukunya “Bersama Anwar ke Penjara”.

Tiga pakar DNA yang dibawa DS Anwar ternyata cukup untuk menggoyahkan Saiful dan mereka yang berhajat melihat DS Anwar kekal tidak menjawat kedudukan Perdana Menteri Malaysia. Apa yang lebih terpampang daripadanya jelas. Penggerak UMNO hanya berani bertanyakan bagaimana DS Anwar mampu membayar pakar-pakar tersebut. Ternampak bahawa UMNO tidak berhajat memberikan komitmen agar keadilan dan kebenaran itu lebih dulu mengambil tempat. Mereka lupa bahawa tidak sedikit yang mahu membantu DS Anwar mendapatkan keadilan bagi dirinya.

Di celah tekanan kuat UMNO bagi mengekang pengaruh DS Anwar dan Pakatan Rakyat, terdapat beberapa Ahli Parlimen memilih untuk keluar parti dan ada juga mengeruhkan hubungan parti-parti yang membentuk PR.

Meskipun saya bukan orang parti, atau sekurang-kurangnya belum menjadi orang parti, saya fikir apa yang berlaku wajar direnung dengan jiwa muhasabah. Syukur, PR masih dapat terus bertahan meskipun dugaan yang diterima tidak sedikit dan tidak mudah. Sebagai orang di luar parti, memang ada masanya saya terasa seperti reformasi di-hijacked oleh parti, terutama apabila penggerak-penggerak reformasi dan parti barangkali terpaksa menjustifikasikan tindakan sebilangan ‘pemimpin’ parti yang membelakangi prinsip umum yang dianggap perjuangan reformasi.

Isu di Malaysia ternyata kompleks, tambahan jika beban sejarah mahu terus dipikul. Namun saya mula ternampak bahawa ‘sejarah sebagai satu keberanian manusia berekspresi pada zamannya’ kini mula perlahan mengambil tempat.

Orang Melayu-Muslim tidak lagi mudah dimomok dengan kebencian kaum. Jika ada sekalipun, mereka mahu bersikap objektif dengan melihat kes demi kes. Mereka sedia memberi ruang untuk tiap ‘pihak bertelagah’ membentangkan pendirian dan kes mereka untuk dihakimi. Orang bukan Melayu juga perlahan-lahan kini mula memberi kepercayaan bahawa ada orang Melayu-Muslim yang sederhana dan boleh mereka rapati untuk bertukar fikiran, meski pun mungkin tidak bersetuju.

Pokoknya, interaksi!

Reformasi tidak akan mampu bergerak jauh selagi prejudis tidak diganti dengan sikap objektif dalam menyaring dan menilai pergolakan masyarakat. Dengan interaksi, kita membina jaringan maklumat dan mengurangkan risiko daripada sikap terbuku-buru yang seringkali datang dan pergi.

No comments: