Sunday, March 14, 2010

Tahniah! Pembentangan GST Ditangguhkan - Sofi Wahab

Dipetik dari http://www.erapakatan.com/berita/tahniah_pembentangan_gst_ditangguhkan_-_sofi_wahab/

KUALA LUMPUR : Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang dijadualkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini akan ditangguhkan.

"Tahniah saya ucapkan kepada rakyat kerana kejayaan memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sememangnya tidak mempedulikan nasib rakyat.

"Penangguhan ini membuktikan bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk menekan kerajaan supaya tidak menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan sewenang-wenangnya," jelas Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab kepada Erapakatan.com.

Namun begitu, beliau berkata rakyat jangan leka dengan keputusan ini kerana sudah menjadi kebiasaan bagi kerajaan BN bahawa mereka berundur setapak dalam berbagai isu sebelum ini tetapi mereka bangkit seribu langkah ke hadapan selepas itu.

"Saya tidak hairan kalau selepas ini kerajaan BN selepas ini meneruskan rancangan memperkenalkan GST kerana inilah antara cara bagi mereka untuk mengaut duit rakyat dengan mudah.

" Dianggarkan kerajaan akan mendapat sekurang-kurangnya RM1 bilion dari cukai GST ini jika ia dikuatkuasakan.

Sofi berkata rakyat harus sentiasa peka kepada semua dasar dan rancangan kerajaan supaya tidak mudah leka dan diperdayakan oleh Kerajaan BN.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) juga mesti memainkan peranan yang berkesan dan sentiasa sensitif dengan apa juga perkembangan terutama yang berkaitan dengan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan, penangguhan itu kerana kerajaan masih lagi mengumpul pandangan, penerimaan dan maklum balas rakyat mengenai dasar tersebut.

Petikan dari http://www.malaysiakini.com/news/126468

GST tidak dibentang untuk bacaan kedua di Parlimen
Mac 13, 10 7:13pm

Kerajaan nampaknya memerlukan lebih banyak masa apabila memutuskan untuk tidak membentangkan rang undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk bacaan kedua apabila Parlimen bersidang Isnin.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpul maklum balas dari rakyat.

"Ia (GST) tidak akan dibentangkan bagi bacaan kedua pada sesi (Parlimen) Mac/April kerana kita memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

"Kami mahukan pendapat orang ramai mengenai GST," kata Husni selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMMKL) hari ini.

Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Disember lepas.

Mengenai bila ia akan dibentangkan, Husni berkata: "Ia akan bergantung kepada perbincangan dengan orang ramai mengenai bagaimana rakyat melihat pelaksanaan GST itu. Jadi, kita tidak menetapkan satu tempoh masa mengenai perkara itu."

GST yang dicadang dikuatkuasakan pada suku ketiga tahun depan itu, bermatlamat untuk melebarkan asas cukai dan mengurangkan defisit negara.

No comments: