Tuesday, March 23, 2010

Tian Chua Ziarah Keluarga Mohd Salleh

SHAH ALAM 23 Mac - Ahli Parlimen Batu Tian Chua menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Salleh Hamdan yang terbunuh dalam kemalangan yang membabitkan beliau dan Tian di Kilometer (KM) 49 Jalan Johor Baru-Mersing pada 12 Mac lalu.

Kejadian berlaku sekitar pukul 9.20 malam ketika Tian dalam perjalanan ke Mersing untuk menghadiri ceramah yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Salleh, 23, seorang prebet di Kem Tentera Mersing yang menunggang motorsikal ketika kejadian meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi, dua jam selepas kemalangan tersebut.

Kunjungan Tian semalam yang dituruti bersama Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Anuar Salleh serta pimpinan KEADILAN Johor dan Wilayah Persekutuan mengunjungi ayah mangsa, Hamdan Saim di Taman Putri, Kulaijaya.

Tian sekali melahirkan rasa kekesalan terhadap kemalangan tersebut dan berjanji untuk membantu keluarga Allahyarham untuk menuntut insuran dari pihak berkenaan.

Pada perjumpaan itu Tian Chua juga menyampaikan salam takziah daripada Datuk Seri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan seluruh pimpinan KEADILAN.

Beliau juga menyampaikan sumbangan daripada parti kepada Hamdan pada pertemuan itu yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas berkata kunjungan Tian dan pimpinan parti menyanggah tohmahan media milik Umno yang sebelum ini memburuk-burukkan Tian.

"Kedatangan kami amat dialu-alukan keluarga mangsa malah disambut dengan penuh rasa muhibbah. Kami rasa hairan mengapa Tian diserang walhal bukan beliau yang memandu kenbderaan semasa kemalangan. Ini hanya permainan politik kotor Umno yang mahu mengaitkan Ahli Parlimen KEADILAN kepada satu persepsi negatif," kata Zabidie.

Sebelum itu Tian telah pergi ke Balai Polis Kota Tinggi sekali lagi untuk mengetahui perkembangan lanjut hasil siasatan polis terhadap kemalangan tersebut tetapi diberitahu kes masih dalam siasatan.

1 comment:

Amir Hamzah said...

Biasalah. Kalau dah UMNO kenalah cari isu lapuk. Tahniah kepada Tian dan pimpinan untuk menunjukkan sifat kemanusiaan dalam keadaan fitnah tersebar ganas.