Friday, March 5, 2010

Wan Azizah: Biar Zul Noordin tentukan masa depannya di PKR

Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/55295-wan-azizah-biar-zul-noordin-tentukan-masa-depannya-di-pkr

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu Zulkifli Noordin, yang memulaukan sesi lembaga disiplin petang semalam, dinasihatkan agar menentukan masa depannya dalam PKR, kata Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sambil menegaskan wakil rakyat itu terus-menerus menguji kesabaran parti, Wan Azizah (gambar) berkata Zulkifli perlu mematuhi peraturan PKR dalam soal berkaitan dengan isu-isu disiplin.

Wan Azizah menyatakan pendirian tegasnya itu beberapa jam selepas Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasutioan Ismail memberitahu The Malaysian Insider bahawa lembaga disiplin yang menyiasat kes Zulkifli tidak akan dibubarkan, malah anggota panel sedia ada akan kekal.

Zulkifli memulaukan sesi bersama lembaga disiplin 3 petang semalam selepas permintaannya agar kesnya diteliti oleh anggota panel beragama Islam ditolak.

Ia merupakan satu daripada lapan permintaan diletakan di hadapan lembaga disiplin dan kepimpinan parti itu. Kesemuanya diketepikan.

Bagaimanapun menurut wakil rakyat ini yang lazimnya lantang bersuara, beliau tiada hasrat untuk meninggalkan parti atau mengikut langkah tiga rakannya, Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri yang keluar parti dan bertindak sebagai anggota Bebas di Parlimen.

Wan Azizah menjelaskan, kes Zulkifli bukannya berkaitan dengan Islam tetapi perkara yang berkaitan dengan soal melanggar disiplin parti.

“Kami akan menunggu laporan daripada lembaga disiplin. Kami juga ada mesyuarat biro politik dan telah membuat syor kami tetapi kami menyerahkan kepada lembaga disiplin sebab ia adalah masalah yang berkaitan dengan soal disiplin.

“Kami menerima perbezaan pandangan tetapi apabila ia menyentuh soal yang melanggar disiplin parti, kemudian ia menjadi isu,” katanya.

Oleh itu jelas Wan Azizah, mereka yang disiasat tidak harus mempertikaikan sama ada jawatankuasa yang dibentuk itu Islam ataupun sebaliknya.

“Anda merupakan ahli parti dan anda kena mematuhi peraturan (yang telah ditetapkan),” kata beliau kepada pemberita di kediamannya malam tadi.

Wan Azizah menegaskan, Zulkifli telah menguji kesabaran parti dan pucuk kepimpinan akan menentukan masa depannya dalam waktu terdekat.

“Lihat, jika anda mahu bermain-main maka anda mesti bermain mengikut peraturan.

“Tetapi anda tidak boleh berkata, 'saya (mahu) melakukan ini dan itu'. Jadi, ia adalah isu disiplin dan saya merasakan beliau sudah cukup menguji kesabaran kami.

“Kita akan adakan mesyuarat kami dan memutuskan (tindakan susulan). Apa yang beliau harapkan daripada kami?” kata Wan Azizah.

Dalam pada itu, Wan Azizah menolak dakwaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa PKR kini di persimpangan menuju kehancuran.

“Jika anda berkata (kami sudah) mula hancur, kita (sebenarnya) telah melalui sekali pada 2004.

“Kemudian dalam pilihan raya 2008, kita telah memperoleh majoriti yang cukup baik dan besar, untuk menjadikan kami sebagai pemimpin bagi sebuah parti yang kecil.

“Jadi, apabila kita mempunyai mereka yang meninggalkan kita, maka kita akan mempunyai darah baru, ia adalah baik untuk parti,” katanya.

No comments: