Friday, November 27, 2009

-= Wajah Sebenar Biro Tatanegara =-


Salam Aidiladha


ANGKATAN MUDA KEADILAN CABANG BATU
mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 1430
kepada semua
Muslimin & Muslimat.

Semoga kisah pengorbanan Nabi Ibrahim & Nabi Ismail akan dapat dihayati sekaligus diterapkan dalam kehidupan seharian.

Komited - Tulus - Perkasa

Ikhlas dari,
Semua Exco AMK Batu

BUBAR SPRM DAN WUJUDKAN ORGANISASI ANTI RASUAH BARU DI BAWAH KUASA PARLIMEN


Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibubarkan berdasarkan kegagalan dan prestasi merosot badan tersebut. Bukan sahaja Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan seharusnya meletakkan jawatan tetapi badan tersebut iaitu SPRM wajar dibubarkan .

Malah amat memalukan Malaysia kini berada di kedudukan ke-56 daripada 180 negara yang mana skor untuk indeks rasuahnya hanyalah 4.5 mata daripada 10 mata. Tahun lalu Malaysia berada di kedudukan ke-47 dengan 5.1 mata. Berikut adalah Indeks Persepsi Rasuah oleh Transperancy International ( TI ) terhadap Malaysia daripada tahun 2001 - 2009 :

Tahun

Kedudukan

Indeks Skor

Jumlah negara yang dibuat kajian

2001

ke 36

5.0

91

2002

ke 33

4.9

102

2003

ke 37

5.2

133

2004

Ke 39

5.0

146

2005

Ke 39

5.1

159

2006

Ke 44

5.0

163

2007

Ke 43

5.1

179

2008

Ke 47

5.1

180

2009

Ke 56

4.9

180

Malah Malaysia berkongsi nombor 56 dengan 4 buah negara iaitu Latvia , Namibia , Samao dan Slovakia !

Terbukti berdasarkan Jadual di atas adalah kegagalan SPRM ( dulu BPR) yang berada masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri apabila menjunam 9 anak tangga daripada tahun 2008 . Sebelum ini rakyat memberikan keyakinan apabila berlaku perubahan daripada Badan Pencengahan Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta berlakunya pindahan akta , organisasi ini akan menjadi lebih efisyen , berintegriti , profesional , telus dan adil . Tetapi menjadi semakin parah dan Indeks Persepsi Rasuah oleh TI adalah bukti kegagalan SPRM dan SPRM wajar dibubarkan .

Kematian dan pembunuhan Teo Beng Hock yang melibatkan SPRM menjadikan integriti dan kredebiliti SPRM jatuh merudum di mata rakyat . Malah sikap pendakwaan terpilih oleh SPRM menjadikan badan ini sudah tidak dihormati oleh rakyat Malaysia .

Selagi SPRM masih berada di bawah kuasa Perdana Menteri , selagi itulah peranan dan fungsi SPRM tidak akan dicapai lebih-lebih lagi SPRM dilihat sebagai ‘penyelamat’ pemimpin UMNO / BN .

Laporan yang berintegriti dan berautoriti seperti Laporan Ketua Audit Negara dipandang ringan dan bisu oleh SPRM kerana ianya melibatkan pemimpin UMNO/BN dan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat Kementerian dan negeri . Ini meletakkan SPRM sebagai penyelamat kepada pemimpin UMNO /BN dan para perasuah dan penyeleweng yang terus merompak hasil negara dan wang rakyat . SPRM terus dikawal dan dipanduselia oleh Perdana Menteri dan UMNO/BN . Malah kes-kes yang berprofile tinggi, SPRM menjadi pem’bersih’ walaupun kes rasuah dan penyelewengan tersebut terang lagi bersuluh .

Kes-kes seperti PKFZ tidak terlalu penting bagi SPRM walaupun ianya adalah merupakan skandal terbesar dalam negara . Serangan SPRM terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat begitu memberangsangkan walaupun hanya sekadar tulisan daripada blog yang tidak pasti kesahihannya . Terus disiasat dan diambil tindakan oleh SPRM . Tetapi kes-kes yang dilakukan oleh pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri sediri di’buta,pekakdanbisu’kan sahaja oleh SPRM walaupun telah disahkan bukti tetapi dibakul sampahkan oleh SPRM . Semua laboran-laporan rasuah , penyelewengan dan salahguna kuasa yang dibuat oleh AMK tiada sebarang tindakan .

Justeru , AMK mencadang dan mendesak agar SPRM dibubarkan dan ditubuhkan satu organisasi anti rasuah yang bebas , telus , adil dan profesional serta diletakkan dibawah tanggungjawab parlimen dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri .

Kegagalan ini juga adalah merupakan kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri . Adalah memalukan Malaysia adalah lebih teruk indeks rasuah daripada negara Afrika selatan .

SELAMATKAN MALAYSIA!

Fariz Musa

Timbalan Ketua

Angkatan Muda Keadilan

BOIKOT BTN SAMPAI MODUL DIKAJI SEMULA OLEH ORANG AWAM



Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan Barisan ADUN muda dari Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang mengesa Kerajaan Negeri agar menghentikan penghantaran mahasiswa institut-institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri mahupun anak-anak syarikat Kerajaan Negeri ke program anjuran Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri.


Program BTN telah didapati penuh dengan propaganda politik UMNO-Barisan Nasional serta doktrinasi unsur perkauman yang sempit. Program tersebut perlu diperhentikan segera dengan mengkaji balik objektif serta isi kandungan modul yang telah dibuat.


Oleh itu, AMK berharap semua kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat harus boikot program BTN dengan segera. Aduan rasmi perlu dituju kepada Perdana Menteri khasnya masalah serta penyelewangan yang timbul dalam BTN. Sekiranya tiada perubahan dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri, maka tindakan boikot tersebut perlu diteruskan sehingga orang awam dibenarkan untuk mengkaji serta memberi pandangan terhadap program BTN.


Ramai yang menganggap pendidikan bahasa ibunda sebagai penghalang perpaduan negara, namun mereka telah mengabaikan bahawa fikiran perkauman yang sempit telah lama disemai dalam program BTN, malah ia lebih mengejutkan. Program yang extrem serta negatif tersebut yang sebenarnya lama merosakkan keharmonian hubungan etnik.

Ramai kakitangan kerajaan dan pelajar yang mengikuti program BTN telah mengadu bahawa module BTN hanya doktrinasi politik perkauman serta melabelkan parti pembangkang sebagai pengkhianat bangsa dan ancaman kepada ketuanan Melayu. Malahan perasaan kebencian terhadap sesetengah pemimpin juga terdapat dalam program BTN.


Lebih merisaukan adalah program BTN telah diwajibkan kepada semua kakitangan kerajaan dan juga pelajar. Mereka yang mengikuti program tersebut pula tidak diberi ruang untuk menyampaikan pandangan atau kritikan terhadap sesuatu isu.


Dengan ini, AMK menyeru Perdana Merteri supaya memberi satu penjelasan kepada semua rakyat tentang masalah BTN yang jelas bercanggah dengan konsep “Satu Malaysia”. Sekiranya Kerajaan Barisan Nasional serius untuk melaksanakan konsep “Satu Malaysia”, maka hentikan program BTN untuk kaji semula serta membuka kepada orang awam untuk memberi pandangan terhadap module yang akan diperkenalkan.


Lee Khai Loon

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Friday, November 20, 2009

MEMPERCEPATKAN PERLAKSANAAN AGENDA REFORMASI

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyeru agar ketiga-tiga parti dalam Pakatan Pakyat bersatu-padu untuk melaksanakan dasar perubahan dan agenda reformasi. Usaha ini penting untuk mengelakkan Barisan Nasional merampas semula 2/3 majoriti dalam kerusi parlimen pada PRU Ke-13.

Pakatan Rakyat mesti meneliti secara serius tentang keputusan kajian selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre. Keputusan tersebut boleh dijadikan satu tanda peringatan untuk kesepakatan Pakatan Rakyat dalam memperkukuhkan sokongan rakyat dan sekaligus mewujudkan sistem dua-parti di Malaysia.

Mengikut statistik kajian selidik tersebut, sokongan kaum India terhadap BN telah meningkat secara mendadak dari 35% ke 55%. Manakala masyarakat Melayu pula menaik sedikit sebanyak 4% iaitu dari 53% ke 57%. Sekiranya parlimen dibubarkan sekarang, Pakatan Rakyat akan hilang 20 hingga 30 kerusi dan menjadi jumlah kerusi dalam parlimen tinggal 50 hingga 60 kerusi.

Walaupun keputusan tersebut hanya sekadar rujukan tetapi sudah mencukupi untuk mengingatkan wakil rakyat yang tidak mempunyai prestasi yang memuaskan. Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi amaran kepada mereka yang tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang memuaskan. Sekiranya mereka masih tidak berubah, maka kemungkinan besar akan digugur pada PRU Ke-13.

AMK berpendapat bahawa setiap lapisan pimpinan Pakatan Rakyat harus memainkan peranan yang lebih proaktif untuk mendapat sokongan daripada rakyat. Hanya dengan semangat reformasi yang mengutamakan rakyat, menyelesaikan masalah rakyat, barulah boleh menyakinkan rakyat terhadap keupayaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN dalam menerajui kerajaan Persekutuan.

Walaupun 52 tahun BN yang penuh dengan rasuah dan penyelewangan telah ditolak dengan tsunami politik 8 Mac, tetapi asas untuk sistem dua parti di Malaysia masih tidak kukuh. Malahan pelbagai tekanan serta sekatan yang dikenakan oleh BN telah membantut proses demokrasi khasnya sistem dua-parti.

Oleh itu, AMK berbangga dengan pencapaian kerajaan PR dalam 20 bulan yang lepas. Namun masih terdapat ruang untuk diperbaiki serta mempercepatkan agenda reformasi serta proses demokrasi untuk menjadi model negeri kepada negeri lain.


Lee Khai Loon

Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Thursday, November 19, 2009

BELANSUNGKAWA

BELANSUNGKAWA - IBU SDR. GANESON

AMK BATU mengucapkan takziah terhadap Ketua Cabang PKR Kepong - Sdr. Ganeson atas pemergian ibunda beliau mengadap Illahi.
Dimaklumkan melalui Sdr. Syed Harun (AJK PKR Cabang Batu), ibu beliau meninggal pagi tadi akibat mengalami masalah kesihatan T.B dan menghembuskan nafas terakhir di Seremban.
Sdr. Ganeson banyak membantu PKR Cabang Batu juga seorang yang giat mengerakkan propaganda perjuangan PKR.
Saya selaku Ketua AMK BATU telah menelefon Sdr. Ganeson waktu tengahari tadi dan menyampaikan rasa simpati kita terhadap kehilangan ahli keluarga beliau.
Mayat mendiang telah dibawa ke Kepong, Kuala Lumpur dan sesiapa yang ingin ziarah - No. B-1-10, Blok B Suria, Jalan Prima 3, Metro Prima, Kepong.
Sekian, dimaklumkan.
komited-tulus-perkasa
ROZAN AZEN MAT RASIP
Ketua AMK BATU

Wednesday, November 18, 2009

Artikel yg. berikut telah disiarkan dalam akhbar KONSEP ERA PAKATAN (KEP) Bil.12 16-30 November 2009 m/s 10 Bahagian Rencana. Berikut adalah tulisan penuh tanpa suntingan editorial.

SEKOLAH 1ALIRAN DAN PAKEJ RASUAH ILMU NAJIB
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP

Pendidikan melalui institusi persekolahan telah berjaya membuktikan ianya salah satu elemen memupuk perpaduan dan membina. Keberhasilan memecah serba sedikit stratafikasi sosial peninggalan penjajah British melalui dasar pecah dan perintah tidak dapat dinafikan. Namun perlanjutan pada perkembangan ini terganggu dengan kewujudan sekolah aliran jenis dan sekolah swasta walau dalam keadaan yang terkawal dan diterima positif atas sebab kontrak sosial.

Dalam percubaan mengubah kearah pembaikan pendidikan dan mengemaskini persefahaman kaum dengan gagasan sistem Sekolah 1Aliran, respon rakyat yang sepatutnya meyambut sebuah lagi tawaran mesra susunan dukungan konsep 1Malaysia Perdana Menteri Najib Razak menjadi seakan boomerang effect dalam cubaan menaja sokongan.

Ketika diumumkan, sayap pemuda Parti Gerakan dan MIC terus laju membantah perlaksanaan Sekolah 1Aliran. Telah dijangka dengan sikap lawan arus komponen BN berkenaan, umum tahu puncanya adalah pengamalan berterusan sektarianisme parti berlandaskan kepentingan perkauman dikalangan parti-parti BN. Sikap ini juga hasil pendidikan kerajaan BN yang gagal membentuk persefahaman yang bersepadu dalam pemikiran (menghapus prejudis perkauman) selain latar belakang dan gaya hidup politikus dikalangan BN.

Ditinjau dari perspektif politik, diyakini juga antara kekhuatiran Perdana Menteri Najib Razak adalah penerimaan khalayak umum terutamanya para ibu-bapa yang kritis terhadap implementasi dan perlaksanaan sistem persekolahan yang masih kabur itu. Najib Razak nyata terperangkap antara retorik gagasan 1Malaysia dengan sejarah serta budaya realpolitik BN yang diyakini tidak mampu mendukung impian beliau. Keharmonian dan perpaduan sekali lagi sekadar kosmetik bagi agenda sempit meraih populariti slogan walhal realiti KPI dinilai gagal menangani permasalahan pentadbiran serta penolakan kepercayaan oleh rakyat.

Mudah difahami apabila khalayak pengundi bimbang dan enggan diperdaya lagi setelah BN sering mencatatkan perlaksanaan dasar-dasar pendidikan dan sistem pembelajaran yang bermusim short-term dan tidak tersusun aplikasinya. Kasus-kasus tidak konsisten seperti Reformasi Pendidikan (ketika Najib Razak Menteri Pelajaran), Sekolah Bestari, Sekolah Wawasan, Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga isu kuota, yuran serta kualiti graduan kolej persendirian dan UiTM tidak mampu untuk rakyat menanggung risiko lagi.

Ini belum melibatkan hal-hal berkait seperti ketelusan pemberian biasiswa, syarat ketat pinjaman dan ketidakadilan caj perkhidmatan serta tempoh pembayaran balik, sistem meritokrasi yang dipertikai ketelusan perlaksanaan, kadar pengangguran dan peluang pekerjaan lepasan bidang yang tidak terbela dipasaran kerjaya, peruntukan pendidikan kontroversial seperti Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996 (IPTS), sekadar menyebut beberapa contoh.

Semua ini harus dilihat sebagai pembaziran dan pemusnahan total masa depan anak bangsa Malaysia dengan tiada sikap akauntabiliti kerajaan BN. Merujuk kegagalan dasar PPSMI sejak 6 tahun lalu, seramai 1.8 juta murid terbabit dengan perbelanjaan wang RM 4.5 billion wang rakyat lebur. PPSMI (2003-2010) dikritik hebat kerana ianya merupakan ego kerajaan BN perlekehkan pandangan cerdik-pandai dan membelakangkan bantahan rakyat yang bimbang implikasi dasar berkenaan yang telah diduga merosakkan keseimbangan pembelajaran serta membelakangi martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (baca: bahasa perpaduan).

Sebagai rekod KPI mencabar pengumuman BN dalam mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkuatkan Bahasa Inggeris, dua (2) buah sekolah luar bandar di Sabah mencatatkan kegagalan 100% pelajar UPSR tahun lalu manakala kegagalan terburuk para pelajar Melayu seramai 40 ribu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ujian SPM tahun 2000.

Juga menimbulkan perdebatan sub-isu Sekolah 1Aliran adalah kebebasan pembelajaran dalam bahasa ibunda dan masa depan sekolah aliran jenis kebangsaan. Tokoh veteran politik DAP dan kritik sosial terkenal Lee Ban Chen dalam pertemuan menyatakan sememangnya perpaduan boleh dicapai melalui sekolah satu aliran tetapi agak sukar dan perlu menghadapi pelbagai cabaran. “Ini adalah akibat sistem pendidikan yang begitu teruk dilaksanakan oleh BN dan tidak serius dalam sebarang pengumuman dan perlaksanaan berkaitan. Malah tiada sebarang perincian dan panel yang mantap dalam membentuk mahupun menjelaskan pelan sekolah satu aliran”.

Beliau yang juga bekas editor Sin Chew Jit Poh serta Setiausaha Eksekutif Dong Zong juga menyoal kejujuran komentar menyokong penghapusan sekolah pelbagai aliran dibuat seperti contoh tokoh akademik sejarah Prof. Khoo Kay Kim yang beliau lihat dengan penuh prejudis memandangkan kedudukan dan keselesaan tokoh dikritik itu dalam badan dan suruhanjaya lantikan berkepentingan kerajaan.

Kolumnis malaysiakini.com dan merdekaonline.com yang pernah ditahan ISA kerana Mogok Ladang Bukit Asahan dan Ladang Triang (1967-1974) ini juga menambah, “Kenyataan Khoo Kay Kim sering berubah dan tidak menampakkan hujah yang konstruktif membela idea Perdana Menteri.”

…bersambung dalam KEP Bil. 13

Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa dan pensyarah separuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.
Artikel yg. berikut telah disiarkan dalam akhbar KONSEP ERA PAKATAN (KEP) Bil.12 16-30 November 2009 m/s 10 Bahagian Rencana. Berikut adalah tulisan penuh tanpa suntingan editorial.

MASA DEPAN PENDIDIKAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP


Meneliti sejarah pendidikan negara pasca-merdeka sentiasa berkembang dengan kejayaan-kegagalan sesuatu dasar implementasi. Tidak dapat diketepikan kebenaran pendidikan adalah mobiliti sosial penting dalam membentuk kesepaduan jamak budaya dikalangan rakyat. Dilihat dari konsep Teori Fungsionalisme, adalah difahami selain masyarakat dan media massa, institusi sekolah memainkan peranan kritikal mewujudkan kestabilan, perpaduan dan evolusi progresif sesebuah masyarakat madani.

Tuntutan perubahan sejak insiden 13 Mei 1969 memperlihatkan sistem persekolahan Malaysia diberi citra semangat baru dan identiti tersendiri dengan penyusunan semula pembelajaran kurikulum dan sokongan pembentukan kemahiran melalui kegiatan kokurikulum. Semuanya telah direncanakan berpaksikan ideologi Rukunegara.

Perkembangan semasa memperlihatkan Perdana Menteri Najib Razak secara tergesa-gesa mengumumkan sistem sekolah 1Aliran. Sebagaimana dijangka, respon segera rakyat terutamanya parti komponen BN adalah pelbagai dan tiada penyatuan mahupun persetujuan. Malahan majoriti rakyat menuntut penjelasan lanjut dan terperinci dalam memahami arah tuju sekolah 1aliran Najib Razak apabila mereka memperlihatkan sikap dingin. Kekhuatiran berulangnya kasus-kasus dasar pendidikan kerajaan yang longgar dan tiada objektif kekal sehinggakan mengganggu pembelajaran pelajar juga faktor pengaruh besar.

Walaupun begitu, fokus utama tulisan ini sebenarnya seruan pada semua komponen parti Pakatan Rakyat (PR). Sebagai pembangkang parlimen paling jitu dalam sejarah politik demokrasi Malaysia serta terbukti lebih kukuh membentuk persefahaman juga dalam menyelesaikan sebarang permasalahan kerjasama, adalah menarik dan perlu bagi PR mengusahakan formula dan segera tampil pakej yang lebih praktikal mengikut kesesuaian kehendak rakyat/pengundi. Ini agar PR tampak kehadapan dengan kerangka pendidikan yang senantiasa diletak sebagai wacana utama dan sebagai alternatif pembelajaran yang lebih ideal juga realistik.

Umum sedar bahawa ramai dikalangan pimpinan termasuk sympathizers pembangkang merangkumi tokoh-tokoh pemikir dan bekas tenaga pengajar (peringkat sekolah-IPTA). Termasuk adalah para pendukung berlatarbelakang profesional dan berpengalaman eksekutif merangka dasar-dasar pendidikan negara hampir sepanjang kerjaya mereka. Penulis melihat sekolah satu aliran merupakan ruang cabaran at par setanding dengan rekod kredibiliti intelegensia ini yang sememangnya dihargai sebagai aset penggerak-pengubah sosial dalam PR. Malah tidak keterlaluan dinyatakan topik sekolah satu aliran adalah mudah bagi pembangkang. Hanya tinggal proses memantapkan blueprint, diperkemaskan wawasan seterusnya halatuju sistem perlaksanaan tersendiri yang lebih efektif.

Pakatan Rakyat terutamanya PKR perlu melakar masa depan bangsa Malaysia dengan menjamin pendidikan percuma dan menjadikan mutu pendidikan sekolah, kolej dan universiti Malaysia terbaik di rantau Asia Tenggara (rujuk DSAI - LIMA JANJI SAYA – Harapan Baru Untuk Malaysia). Penilaian pasti turut diletakkan kepada kredibiliti Ketua Umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai mantan Menteri Pelajaran sekitar pertengahan 80’an selain mandat dan kapasiti beliau peneraju utama Ketua Pembangkang Parlimen.

PR harus lebih dinamik, matang menjadi juara dalam pendidikan (sekolah 1Aliran) yang diakui agak sensitif dalam konteks sejarah dikalangan rakan parti komponen. Ini kerana tiba masanya BN sekali lagi pasti memainkan isu perkauman mencabar PR agar tampil telus dengan point of view berbeda sekaligus unik berkait dengan pelan pendidikan selain modul BN. Sebagai mewakili kehendak serta kesejahteraan pendidikan rakyat, PR perlu menyahut cabaran ini sebagai para pemimpin bertanggungjawab dan amanah (taklif) sepenuhnya.

Kesimpulannya, penulis masih berharap agar objektif Seminar Menilai Dasar Penddikan Negara : Masalah serta Halatuju yang dianjur sekitar tahun 2001 dahulu menjadi realiti dengan kehendak-kesesuaian semasa. Konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung 18-20 Disember 2009 Shah Alam, Selangor depan pula diharap meletakkan keutamaan persoalan sekolah satu aliran versi PR sebagai salah satu agenda nasional PR dalam menyusun strategi dan pengisian menuju Putrajaya.

Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa serta pensyarah separuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.

Sunday, November 15, 2009

AMK DESAK KHAIRY JAMALUDIN , PEMUDA UMNO, S.NALLAKARUPAN DAN S. VIGNESWARAN MOHON MAAF SECARA TERBUKA PADA DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DI ATAS KENYATAAN



Kenyataan yang telah dibuat oleh Bekas Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris, membebaskan Ketua Umum dan juga mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada skandal akaun bank luar negara berjumlah RM3 billion .

Abd. Razak dalam kenyataannya memberitahu mahkamah tinggi, tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar adalah tuduhan yang tidak berasas. BPR (sekarang SPRM) telah menyiasat perkara itu ekoran dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid. Sepasukan pengawai BPR telah ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut yang terbukti adalah tidak benar dan tidak berasas .

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengalu-alukan kenyataan Bekas Pengarah Siasatan BPR tersebut dan menyifatkan ianya telah menjernih dan membersihkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilakukan oleh Pemuda UMNO/BN , individu serta media yang dikuasai UMNO/BN yang bertujuan serta berniat jahat menaburkan fitnah terhadap beliau selama ini dengan mengaitkan beliau dengan skandal RM3 billion tersebut .

Maka adalah amat wajar Khairy Jamaludin , Pergerakan Pemuda UMNO , Datuk S.Nallakarupan dan S. Vigneswaran (Bekas Ketua Pemuda MIC) wajib bertanggungjawab di atas kenyataan dan tindakan jahat , kotor dan jijik serta fitnah yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti dan integriti terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu tersebut .

Justeru , AMK mendesak agar Khairy Jamaludin , Pergerakan Pemuda UMNO , S.Nallakarupan dan S.Vigneswaran mesti membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim , Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat .

AMK terus bertegas mendesak agar dibentuk sebuah Suruhanjaya Bebas menyiasat harta kekayaan dan kewangan Khairy Jamaludin sepertimana kenyataan AMK pada 14 Oktober 2009 , serta terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak takut serta bersedia untuk disiasat terhadap dakwaan tersebut dan meminta satu suruhanjaya bebas menyiasat kesemua harta yang hilang dan termasuklah menyiasat Ketua Pemuda UMNO tersebut .

Agenda fitnah untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata gagal .


Fariz Musa
Timbalan Ketua
Angkatan Muda Keadilan

Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan

Deepavali di Parlimen Batu

Majlis Sambutan Deepavali Parlimen Batu

15 November 2009 (AHAD)
12 pm - 3 pm
Sentul Pasar, Jalan Sentul. KL


Semua dijemput hadir!

Dialog Isu Semasa Berjaya

Sentul (14 November 2009) : Sesi dialog isu semasa bersama YB Nik Nazmi Nik Ahmad telah berlangsung dengan jayanya di Pejabat Keadilan Cabang Batu pada jam 5.30 petang. YB Nik Nazmi yang tiba pada jam 5.15 petang mengambil kesempatan berkenalan dengan hadirin yang terdiri dari Exco AMK Cabang Batu terlebih dahulu.

Sesi dialog ini dipengerusikan oleh Rozan Azen Mat Rasip selaku Ketua AMK Cabang Batu. Kehadiran YB Nik Nazmi turut ditemani oleh Pembantu Peribadi beliau iaitu En Saifullah. Beberapa persoalan telah ditimbulkan oleh hadirin yang menyentuh pelbagai isu antaranya mengenai hasil lawatan beliau ke Amerika Syarikat dan United Kingdom baru - baru ini, isu - isu yang sedang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Selangor seperti isu JAIS dan Dr Asri, isu masyarakat India Negeri Selangor dan bagaimana persediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mempertahankan kerajaan pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Turut disentuh ialah konvensyen PKR yang sedang berlangsung kini serta khabar angin tentang kewujudan regu - regu tertentu dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada tahun depan. Semua pertanyaan yang diutarakan, dijelaskan satu per satu oleh YB Nik Nazmi dan dilihat berjaya memuaskan hati semua hadirin.

Ketua AMK Cabang Batu melihat dialog ini sebagai berjaya dan sesi ini akan diteruskan pada bulan depan. Dialog selanjutnya akan menampilkan Shamsul Iskandar Mat Akin iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Dialog bersama beliau akan dianjurkan selepas Hari Raya Aidiladha nanti InsyaAllah.

Saturday, November 14, 2009

Salam semua penyokong Pakatan Rakyat. SEBARKAN !!!

Dimaklumkan AMK WP diketuai Hj. Md. Zaman Tasi akan mengadakan SIDANG MEDIA KHAS Sokongan Moral kepada YB TIAN CHUA (KES MAHKAMAH GIGIT POLIS-JUSTICE FOR TIAN) di Konvensyen PKR WP Hotel De Palma, Ampang.

komited-tulus-perkasa
ROZAN AZEN MAT RASIP & AMK BATU
Ketua AMK Cabang BATU / Naib Ketua AMK WP


KONVENSYEN Parti KEADILAN Rakyat (PKR) NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN
ISNIN 16 NOVEMBER 2009

De Palma Hotel, Ampang


“MENGGILAP HARAPAN RAKYAT”

ATURCARA PROGRAM
6.00 P.M : Pendaftaran
7.00 P.M : Solat Maghrib Berjemaah
7.30 P.M : Makan Malam
8.30 P.M : Ucapan Aluan YB Azmin Ali (Pengerusi MPN Wilayah)
8.40 P.M : Ucapan Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim
8.55 P.M : Ucapan YBhg. Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden Parti)
9.10 P.M : Ucaptama Oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
Yb Dato’ Seri Anwar Ibrahim
“Menggilap Harapan Baru Rakyat”
10.00 P.M : Halatuju AMK Wilayah
10.15 P.M : Ucapan Ketua Wanita Wilayah
10.30 P.M : Pembentangan Kertas Kerja “Menggilap Harapan Rakyat”
YB Wee Choo Keong (AP Wangsa Maju/Timb. Pengerusi 2 MPN WP)
“Keselamatan”
10.50 P.M : YB Tian Chua – “Perumahan Awam”
11.10 P.M : YB Nurul Izzah Anwar – “Local Government Election”
11.30 P.M : Rumusan oleh YB Azmin Ali (Pengerusi MPN Wilayah)
11.45 P.M : Bersurai

Aturcara Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan

KONVENSYEN PKR WILAYAH PERSEKUTUAN

ISNIN, 16 NOVEMBER 2009

De Palma Hotel,Ampang

“MENGGILAP HARAPAN RAKYAT”

ATURCARA PROGRAM

6.00 P.M : Pendaftaran

7.00 P.M : Solat Maghrib Berjemaah

7.30 P.M : Makan Malam

8.30 P.M : Ucapan Aluan YB Azmin Ali (Pengerusi MPN Wilayah)

8.40 P.M : Ucapan Y.A.B Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim

8.55 P.M : Ucapan YBhg. Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden Parti)

9.10 P.M : Ucaptama Oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Yb Dato’ Seri Anwar Ibrahim

“Menggilap Harapan Baru Rakyat”

10.00 P.M : Halatuju AMK Wilayah

10.15 P.M : Ucapan Ketua Wanita Wilayah

10.30 P.M : Pembentangan Kertas Kerja “Menggilap Harapan Rakyat”

YB Wee Choo Keong (AP Wangsa Maju/Timb. Pengerusi 2 MPN WP)

“Keselamatan”

10.50 P.M : YB Tian Chua – “Perumahan Awam”

11.10 P.M : YB Nurul Izzah Anwar – “Local Government Election”

11.30 P.M : Rumusan oleh YB Azmin Ali (Pengerusi MPN Wilayah)

11.45 P.M : Bersurai

Saturday, November 7, 2009

ARTIKEL PENUH DARI KONSEP ERA PAKATAN - PROSIDING 8 MAHASISWA-BUKTI BN DOUBLE STANDARD

(Artikel yg. berikut telah disiarkan dalam akhbar KONSEP ERA PAKATAN Edisi 11 1-15/11/09 m/s 10 Bahagian Rencana. Berikut adalah tulisan penuh tanpa suntingan)
PROSIDING 8 MAHASISWA – BUKTI BN DOUBLE STANDARD

Insiden 8 mahasiswa Universiti Malaya yang telah dikenakan tindakan tatatertib semata-mata mengundang pihak luar berjawatan politik dalam aktiviti kampus mereka ternyata mengecewakan dan akan menguji sejauh mana konsep 1Malaysia tawaran Perdana Menteri Najib Razak mesra mahasiswa. Disabitkan tindakan Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) dibawah AUKU, jika didapati bersalah mahasiswa berkenaan boleh dikenakan tindakan antaranya amaran keras, denda tidak melebihi RM 200 ratus serta digantung atau dipecat daripada universiti.

Kepercayaan akan menjadi kayu ukur terhadap ketelusan kerajaan pimpinan BN dimana jika keputusan prosiding memihak pada kekangan birokrasi AUKU 1971, sememang-memangnya demokrasi versi Najib Razak semasa ucapan beliau sebagai Perdana Menteri dan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2009 boleh dikategorikan sebagai perulangan kosmetik.

Exco Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr. Muhd. Nur Manuty, dalam temubual bersama KEP mengkritik tindakan pihak pentadbiran Universiti Malaya sebagai amat memalukan. Minda pelajar universiti seakan cuba dipecah – pecahkan setelah tidak dapat disatukan secara rela dalam gagasan 1Malaysia sepertimana dikehendaki. Sekali lagi universiti menjadi alat pro–establishment yang tidak adil. Menurut mantan Presiden ABIM dan tokoh pemikir ini lagi, adalah mengecewakan Malaysia masih berada di paras sebegini teruk berbanding universiti di negara jiran ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka dan India yang tidak menyekat pergerakan pelajar.

Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin (Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) pula turut mempersoalkan integriti dan ketelusan prosiding tersebut. Beliau hairan mengapa dakwaan terhadap pihak tertuduh (8 Mahasiswa) berterusan berubah-ubah (sehingga artikel ini ditulis masih belum ada sebarang dakwaan dikemukakan terhadap mangsa birokrasi universiti itu).

Dalam usaha pembelaan terhadap mangsa penindasan 8 mahasiswa terutama dalam senario tindakan dan polisi pihak pentadbiran universiti kebelakangan ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) telah menyerah memorandum MAHASISWA TUNTUT DEMOKRASI KAMPUS ADIL & TELUS kepada Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah di Parlimen 19 Oktober lalu.

Memorandum tersebut antaranya menuntut dibatalkan semua tuduhan dan tindakan tatatertib terhadap 8 mahasiswa terbabit serta-merta dan tanpa sebarang syarat, menghormati autonomi mahasiwa dalam mengadakan aktiviti dan menghentikan penindasan, menghormati kebebasan bersuara mahasiswa sebagaimana semangat Artikel 19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel 10 Perlembagaan Malaysia.

Akhbar KEP yang turut bersama para perwakilan mahasiswa juga menyokong antara hujah utama persoalan mengapa berlakunya seakan sikap pilih kasih dan double standard di pihak pentadbiran universiti (dalam kasus ini Universiti Malaya) mengenakan tindakan disiplin terhadap 8 pelajar kononnya melanggar AUKU. Adalah menghairankan bagaimana dan dimana kesalahan menjemput seorang exco kerajaan negeri (YB Teresa Kok) dan setiausaha politik Menteri Besar Selangor (YB Nik Nazmi Nik Ahmad) yang antaranya melancarkan sebuah program berbentuk forum ilmiah isu semasa dianggap politically dangerous. Sebaliknya tiada tindakan disiplin apabila banyak aktiviti yang membabitkan kakitangan kerajaan dan ahli politik pro-BN dianjurkan di premis universiti-universiti selama ini.

Terbukti AUKU masih beku dan tetap mengikat kebolehan sebenar pelajar pengajian kerana berterusan prejudis pada aktivitisme kampus. Pindaan terbaru (Febuari 2009) masih nyata melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau simpati terbuka kepada mana-mana pihak yang berkait dengan politik walau dalam isu yang jelas tidak berpihak dan dilakukan dalam kerangka diskusi ilmiah-akademik.

Mahasiswa terus dianaktirikan persepsi intelek, diperlekehkan kejujuran non-partisan mereka. Dinamika kepimpinan pelajar dihalang dari berkembang apabila kepercayaan terhadap kebebasan bertindak dan kewibawaan decision making warga kampus dinafikan. Walaupun begitu, penulis melahirkan simpati juga sekaligus mengucapkan tahniah kepada perwakilan mahasiswa kerana berani dan berprinsip dalam sebuah lagi episod hitam demokrasi kampus seperti insiden kezaliman birokrasi 8 mahasiswa ini.

Kesimpulannya, AUKU masih berjaya dengan fungsinya mengekang proses kematangan intelek mahasiswa. Sememangnya sah transformasi demokrasi era 1Malaysia Perdana Menteri Najib Razak suatu retorik.

komited-tulus-perkasa

ROZAN AZEN MAT RASIP


Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.

AKAN DATANG - ARTIKEL 'SEKOLAH 1ALIRAN - PRO & KONTRA'

PETIKAN ARTIKEL SIARAN KONSEP ERA PAKATAN - PILIHANRAYA KAMPUS: E-UNDI DIBANTAH

(Artikel yang berikut telah disiarkan sepenuhnya dlm. akhbar KONSEP ERA PAKATAN Bil. 11 1-15/11/09 Bahagin Rencana m/s 10 dibawah tajuk suntingan Pilihanraya kampus: e-undi dibantah)
MAHASISWA MALAYSIA BOIKOT SISTEM E-UNDI

Mahasiswa dan pentadbiran kampus negara sekali lagi dicabar kebebasan autonomi mereka apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diketuai Dato’ Seri Khaled Nordin bertindak autoritatif dalam melaksanakan pilihanraya kampus melalui penggunaan sistem E-Undi. Ini ternyata membelakangkan suara bantahan majoriti warga kampus apabila berlaku respon negatif dan penolakan total tidak menyokong arahan pihak kementerian terbabit. Malah cadangan ini turut disambut dingin oleh masyarakat luar institusi pengajian tinggi.

Melalui kenyataan akhbar dan penyerahan memorandum MAHASISWA TUNTUT DEMOKRASI KAMPUS ADIL & TELUS KEPADA AHLI PERWAKILAN yang berlangsung pada hari pertama sesi Parlimen di lobi bangunan berkenaan 19 Oktober lalu, perwakilan mahasiswa melalui Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) yakin niat kerajaan dalam memperkenalkan sistem ini walau dilihat sangat tersusun dan moden dalam penggunaan teknologi maklumat kini, ianya satu usaha untuk mencabul kesucian sistem demokrasi kampus yang selama ini dipertahankan oleh mahasiswa.

...termasuk PKPIM dan GAMIS ini, berpendirian E-Undi akan menyebabkan keadaan yang lebih rumit berlaku seperti ketelusan dan kerahsiaan undi mahasiswa dicabuli, integriti pengawal sistem diragui ketelusannya, risiko terdedah kepada sabotaj (hack) dan masalah teknikal, kos tinggi dan pelbagai lagi. BANTAH menuntut agar Kementerian Pengajian Tinggi membatalkan serta merta perlaksanaan sistem E-Undi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa yang ternyata akan menghancurkan demokrasi dan hak mahasiswa di kampus.

Serahan memorandum kepada Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah turut hadiri dan disokong kempen bantahan oleh YB Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), YB Tian Chua (Batu) dan YB Manikavasagam (Kapar) dalam sidang media mereka masing-masing.

Ternyata Perdana Menteri Najib Razak dalam pengumumkan Bajet 2010 dengan peruntukan sejumlah 100 ribu netbook dan broadband dengan kadar istimewa RM 50 sebulan bagi mahasiswa terpilih tahun pertama untuk tempoh dua tahun dapat dinilai keikhlasan kerajaan pimpinan BN. Tidak dapat dipertikaikan sekiranya khalayak melihat pemberian kemudahan pembelajaran tidak seberapa ini sebenarnya mengharapkan ‘pulangan’ vested interest (baca : undi kerajaan) untuk BN. Walaupun begitu, kebijaksaan mahasiswa diyakini dapat memainkan peranan sewajarnya dalam meneruskan bantahan mereka dan menewaskan ‘rasuah ilmu’ era 1Malaysia.
komited-tulus-perkasa
ROZAN AZEN MAT RASIP

Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.

Monday, November 2, 2009

Anggota Polis Malaysia yang Cekap, Gagah & Berani



Pastikan polis tersebut tiada berdekatan anda.

BAJET (BELANJAWAN) 2010: IBARAT MINYAK DUYUNG PERENDANG DUYUNG1


Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ke-6 Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada hari Jumaat 23hb Oktober 2009 lepas merupakan pembentangan bajet sulung beliau sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 3hb April 2009 lepas. Pastinya rakyat dan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara akan melihat dan menganalisis Bajet 2010 ini sebagai KPI dan etunjuk kepada corak pentadbiran Perdana Menteri Baru ini.

Apakah pembentangan Bajet 2010 ini sekadar retorik angka-angka dan peratusan sahaja untuk menampilkan beliau juga mampu membentangkan bajet?, Atau mampukah beliau membawa pembaharuan ekonomi dan pendekatan baru yang lebih segar seperti yang diharapkan rakyat?

Pembentangan Bajet 2010 ini dikemukakan ketika suasana ekonomi Malaysia masih suram dan belum menampakkan pemulihan ketara selepas dua kali suntikan dana ekonomi dilaksanakan. Bajet 2010 ini juga mencatatkan belanjawan defisit kerajaan persekutuan untuk kali ke-13 berturut-turut yang menggambarkan kegagalan kerajaan untuk melaksanakan belanjawan secara berimbang.

Secara umumnya Bajet 2010 tidak mencerminkan ‘belanjawan untuk rakyat’ seperti yang dicanangkan, kerana rakyat hanya menerima faedah dalam bentuk pengecualian cukai sekitar RM500 juta sahaja. Rakyat secara khususnya tidak dapat menikmati kemakmuran ekonomi akibat kepincangan tadbir urus ekonomi kerajaan Barisan Nasional yang sehingga kini amat lemah, dan gagal mengembalikan keyakinan bahawa ekonomi negara semakin pulih dan berdaya saing di peringkat global.

Bajet 2010 pada kali ini yang kononnya menampilkan transformasi ekonomi model baru ke arah berasaskan kepada kreativiti, inovasi dan nilai tambah tinggi dilihat tidak mengujakan. Usaha untuk menyaingi kehebatan ekonomi negara-negara lain yang telah melaksanakan model baru tersebut seperti Singapura, Taiwan, Finland dan Israel dilihat tidak strategik untuk ekonomi Malaysia pada masa sekarang kerana asas ekonomi di Malaysia masih jauh ketinggalan daripada sumber tenaga, kepakaran, pusat penyelidikan dan kemampuannya.

Negara-negara yang telah melaksanakan sistem ekonomi berasaskan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi telah bermula awal sejak era tahun 1970 dan 1980 lagi. Penumpuan negara-negara tersebut kepada bentuk ekonomi ini adalah disebabkan latarbelakang negara tersebut yang tidak mempunyai kelebihan sumber asli dan tanahnya. Mereka telah lama bermula dengan pembangunan dan penyelidikan yang mantap dan kukuh dalam semua aspek. Perancangan negara-negera tersebut juga jelas dan berhasil menjadikan ekonomi mencapai kemajuan yang disasarkan.

Kita tidak mahu melihat Malaysia terkapai-kapai dalam mengurus ekonomi masa hadapan dalam arus ekonomi global dengan tidak memberi perhatian utama memperkukuhkan pembangunan insan dan sumber tenaga pakar yang dilatih dan dibentuk sendiri. Kebergantungan negara kepada pakar-pakar luar dan sumber manusia luar yang terlalu besar kuantiti dan kualitinya membahayakan strategi kestabilan ekonomi negara masa hadapan kerana mungkin tenaga pakar dan sumber manusia tersebut akan keluar mencari peluang lain yang lebih produktif dan lumayan.

Sewajarnya, model ekonomi Malaysia memperkukuhkan pembangunan sedia ada sumber asli, galian dan pertanian disamping mempelbagaikan penjanaan ekonomi dan perkhidmatan untuk meningkatkan sumber pendapatan negara. Malaysia yang mempunyai kekayaan dengan sumber asli, galian dan tanah subur yang tidak dimiliki oleh negara-negara yang berasaskan kepada model ekonomi baru ini perlu mengambil segenap peluang dan menggilap potensi ekonomi secara keseluruhannya.

Usaha menarik pelabur asing ke dalam negara perlu dipergiatkan dengan usaha-usaha yang positif dilaksanakan dengan memperbaiki sistem ketelusan dan pengurusan ekonomi negara yang cekap,bebas rasuah dan mengurangkan birokrasi kerajaan. Negara yang hanya mencatatkan kemasukan dana pelabur asing hanya berjumlah RM3.6 Billion berbanding RM19.7 Billion pada tahun sebelumnya sewajarnya menggerakkan lamunan panjang pihak kerajaan agar melaksanakan satu tindakan yang proaktif dan drastik.

Hutang negara yang meningkat mendadak kepada RM362.5 billion untuk tahun 2009 menggambarkan ada yang tidak kena dengan gaya pengurusan ekonomi negara ketika ini. Apakah negara tidak mempunyai pelan khusus untuk mengurangkan jumlah hutang negara yang mana situasi ini boleh menjejaskan kestabilan ekonomi Malaysia dalam masa terdekat. Malaysia perlu mempunyai hutang negara yang rendah untuk memastikan kelangsungan jangkamasa ekonomi negara untuk lebih kukuh dan stabil. Kerajaan perlu memikirkan generasi masa hadapan yang perlu menanggung beban akibat jumlah hutang negara yang amat tinggi. Malahan setiap anak dalam kandungan lagi sudah terpikul tanggungjawab terhadap hutang negara secara tidak langsung.

Bajet 2010 pada kali ini juga agak ganjil kerana tidak memberi penumpuan kepada aspek pertahanan negara yang tidak memberikan apa-apa yang menarik kepada kebajikan para anggota tentera. Persoalannya apakah dana untuk anggota tentera sudah habis dihamburkan untuk pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang? Jelas, kerajaan Barisan Nasional terus melupakan jasa besar mereka setelah pengorbanan besar disumbangkan oleh mereka.

Negara juga dikejutkan dengan tragedi kebakaran KD Inderapura di Pengkalan TLDM Lumut serta penggunaan senjata pertahanan yang tidak berkualiti dan ketinggalan zaman. Sewajarnya aspek pertahanan negara tidak boleh dipandang rendah kerana kegagalan menyediakan sistem persenjataan dan sumber tenaga manusia yang terbaik dan berkualiti kedaulatan negara mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana kuasa asing.

Kadar kelajuan internet dan broadband di Malaysia kian dipersoalkan. Tahap kelajuan yang berada di tangga 48 daripada 66 buah negara hasil kajian Universiti Oxford tidak menggambarkan usaha hasil pelaburan yang besar untuk pembangunan Multimedia Super Coridor dan Cyberjaya serta pelaburan besar pembangunan jalur lebar sebelum ini. Ini pasti menjejaskan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik memandangkan sistem capaian internet dan jalur lebar pantas adalah amat diperlukan untuk kepentingan strategik ekonomi dan pelaburan.

Malaysia amat memerlukan pembangunan jalur lebar berkelajuan yang tinggi untuk menyediakan negara kepada ekonomi masa hadapan. Kajian dan pembangunan yang berterusan untuk memastikan keseluruhan ceruk rantau dan kampung yang mempunyai nilai ekonomi yang berpotensi dapat dikembangkan ke peringkat global. Sudah tiba masanya negara memperbaiki tahap kelajuan internet dan broadband jika mahu bersaing dengan negara-negara serantau yang sudah mempunyai tahap capaian yang baik dan pantas.

Negara-negara yang dikenal pasti sudah bersedia untuk menakluki teknologi maklumat masa depan termasuk Korea, Jepun, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Belanda, Denmark dan Romania dengan kelajuan melebihi 11.25 Mbps dan “upload” 1 Mbps. Pemberian kontrak untuk syarikat-syarikat membangunkan dan memperbaiki kelajuan dan infrastruktur jalur lebar perlu diberi perhatian agar projek besar ini tidak menjadi satu lagi projek gajah putih yang merugikan wang rakyat dan Negara.

Aspek pembangunan pertanian dalam Bajet 2010 ini juga masih belum ada yang menarik melainkan pemberian berterusan subsidi. Sewajarnya satu anjakan baru untuk membantu golongan petani di negara ini dengan memperkenalkan sistem insurans dan takaful bagi memastikan sektor pertanian mampu memberikan sumber pendapatan negara di samping mengurangkan perbelanjaan keluar atau import produk pertanian daripada negara luar. Sumber tanah yang sesuai untuk pertanian perlu dioptimumkan agar kesan kenaikan barangan makanan yang pernah berlaku pada beberapa tahun kebelakangan ini dapat dielakkan dan di atasi.

Golongan petani, nelayan dan penternak perlu terus disediakan suasana dan iklim pertanian dan penternakan yang memuaskan. Sistem pemasaran dan pengedaran yang menjadi kekangan kepada mereka selama ini perlu diperbaiki dengan memperkemaskan pengurusan agensi-agensi berkaitan. Sumber dana mudah untuk golongan petani memperhebatkan usaha mereka meningkatkan jumlah hasil dan kualiti perlu diberi perhatian untuk mengelakkan sektor pertanian hanya dilakukan dalam skala kecil,tidak produktif dan terbatas.

Bajet 2010 untuk pendidikan negara perlu pembaharuan besar. Kegagalan negara untuk menyediakan pendidikan masa hadapan untuk generasi masa kini akan menyebabkan negara dalam keadaan kaku dan tidak mempunyai nilai tersendiri di masa hadapan. Kedudukan ranking universiti-universiti di Malaysia memaksa kerajaan bertindak proaktif menyediakan suasana dan iklim pendidikan negara yang berteraskan kepada pembangunan insan secara holistik dan menyeluruh. Universiti di Malaysia perlu dilihat berbeza dan mencari kelebihan tersendiri jika agak sukar untuk mengatasi kualiti universiti tersohor dunia seperti Univerisiti Oxford dan lain-lain.

Pendidikan di Malaysia perlu menyediakan generasi masakini kepada suasana dan iklim keperluan di masa hadapan. Pembelajaran yang bersifat hanya fokus kepada peperiksaan perlu diubah agar suasana pembelajaran di negara ini bersifat berterusan dan memupuk semangat cintakan kepada ilmu dan budaya menyelidik. Pendidikan negara dilihat hanya menumpukan kepada aspek kecemerlangan dalam peperikasaan tetapi pendidikan negara gagal membangunkan karektor insan yang hebat dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

Dalam Bajet 2010 ini juga kerajaan merancang untuk melaksanakan penstrukturan semula Skim Subsidi Minyak. Sistem baru ini yang menggunakan MyCard dan infrastruktur sedia ada memerlukan kajian mendalam dan pelaksanaan yang betul untuk mengelakkan sistem ini kelak menimbulkan suasana kelam kabut dan tidak menentu kepada rakyat. Jika perlaksanaan sistem baru ini dilihat menyusahkan rakyat dan menambahkan kos perbelanjaan kerajaan maka sebelum ianya dilaksanakan kerajaan perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak dan pakar dalam hal ini.

Bajet 2010 untuk memerangi jenayah rasuah yang dicadangkan kerajaan dilihat tidak nampak mampu membendung jenayah rasuah secara drastik. Penggubalan Whistel Blower Act untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat tidak mempunyai erti jika penjenayah rasuah berprofil tinggi terus dilindungi. Kredibiliti SPRM kini jatuh merudum di peringkat nasional dan antarabangsa kerana persepsi rakyat menganggap SPRM tidak berupaya menyelesaikan kes yang mencecah berbillion Ringgit Malaysia dan individu berprofil tinggi. Sehingga kini SPRM tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa selain menyerahkan kes ini kepada Peguam Negara. Persoalannya ialah bagaimana pula jika Peguam Negara dan individu berprofil tinggi terbabit melakukan rasuah?

Usaha memperbaiki imej SPRM bukan hanya sekadar mengadakan persidangan antarabangsa dan sessi penerangan semata-mata seperti yang dicadangkan dalam Bajet 2010. Apa perlu didahulukan ialah agar SPRM ini mempunyai kuasa pendakwaan yang luas dan hanya menerima arahan daripada Parlimen dan Yang DiPertuan Agong. SPRM perlu bertindak pantas menyiasat kes-kes yang melibatkan Ringgit Malaysia Berbillion-billion dan bukan hanya beria-ia menyiasat kes-kes terpilih yang hanya bermotifkan peribadi dan politik sempit semata-mata.

Untuk Bajet 2010 ini, adalah suatu tindakan yang pelik apabila kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk Program Permata. Apakah kerana Program Permata ini diterajui oleh Rosmah Mansor maka sejumlah wang rakyat yang banyak dilaburkan ? Atau apakah program ini begitu efektif dan berkesan ? Kenapa peruntukan sebanyak itu tidak disalurkan melalui kementerian yang dipimpin oleh Menteri Shahrizat ? Persoalan-persoalan ini membangkitkan persepsi negatif terhadap PM Najib. Apa yang diharapkan ialah perbelanjaan RM100 juta ini dipantau dan dipastikan memberikan manfaat terbesar kepada genarasi kanak-kanak.

Pembangunan teknologi hijau yang baru diperkenalkan di negara ini memerlukan kesedaran dan kefahaman yang jelas kepada rakyat. Kerajaan perlu meningkatkan usaha kefahaman dan aplikasi teknologi hijau ini dalam kehidupan. Pengenalan teknologi baru sewajarnya mengurangkan kos perbelanjaan wang negara dan rakyat. Tiada ertinya teknologi hijau ini diperkenalkan dan dilaksanakan jika kos bebanan semakin meningkat dan tidak memberi impak positif kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Harapan besar rakyat dalam Bajet 2010 ini ialah agar kadar kenaikan kos barangan, makanan dan perkhidmatan tidak terus naik mendadak dan menjejaskan kuasa beli rakyat. Tiada ertinya Bajet dibentangkan berbillion-billion dan angka-angka yang dicanang-canang nampak indah belaka namun tidak sampai peruntukan tersebut kepada rakyat.

Peruntukan dan pengagihan dana persekutuan ini juga perlu sampai kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Kegagalan menyampaikan dana persekutuan dan geran yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Negara memperlihatkan masih ada suasana jumud pemikiran untuk menggembeling secara bersama menjana pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Perbezaan pandangan politik tidak perlu terlalu jumud dan sempit sehingga ada dana yang sepatutnya diterima dan diurus oleh pihak yang tidak sehaluan dengan pandangan politik akan disekat dan dihalang. Rakyat menjadi mangsa kepada sikap kerakusan dan pemikiran sempit politik sesetangah pihak dengan tidak melihat kepentingan yang lebih besar kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.

Malaysia perlu melangkah lebih cergas dan proaktif berhadapan cabaran krisis ekonomi dan kewangan global. Walaupun ada petanda-petanda yang positif pemulihan ekonomi di peringkat global namun krisis ekonomi dan kewangan boleh kembali berlaku tanpa diduga dan diramal. Ekonomi Malaysia perlu mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi kepada apa sahaja iklim ekonomi global yang melanda. Rakyat perlu diutamakan dalam aspek kebajikan jika berlaku krisis ekonomi,makanan dan kemelesatan yang berlaku dan tidak menjurus kepada pakej ‘bailout’ dan menyelamatkan syarikat gergasi kroni sahaja.

Pengurusan yang cekap, sistematik dan amanah merupakan antara yang perlu diutamakan. Budaya membazir, rasuah dan penyelewengan kuasa yang membantutkan dan merencatkan pembangunan rancak negara perlu diperangi habis-habisan.

Tidak keterlaluan kalau disimpulkan Bajet 2010 yang diharap dapat memberikan manfaat kepada semua rakyat di setiap lapisan dan peringkat di kala kesuraman ekonomi sekarang hanyalah ibarat minyak duyung perendang duyung1.

1 “Minyak duyung perendang duyung” adalah sebuah peribahasa Melayu yang membawa maksud ‘menghabiskan harta tuannya (atau rakyatnya) sendiri’. (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)

SELANGOR ANJUR DIALOG BAJET 2010 BERSAMA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT



Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan dua majlis Dialog Bajet 2010 pada 3 November (Selasa) dan 9 November (Isnin) untuk menganalisa dan membahaskan bajet persekutuan yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober lalu.

Dialog Bajet 2010 yang akan diadakan di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 3 November jam 8 malam bakal menyaksikan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh), YB Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) sebagai ahli panel dialog tersebut.

Pada 9 November pula Dialog Bajet akan diadakan di Auditorium, Aras 5, MBAJ, Ampang bermula jam 8 malam. Para ahli panel adalah YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh), YB Dr. Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang).

Dato' Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal merasmikan majlis dialog yang dijangka akan menjadi tarikan golongan profesional, akademik, kesatuan pekerja dan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Antara tujuan majlis dialog ini diadakan dalah untuk mengumpul pandangan dan cadangan pelbagai pihak untuk dijadikan rujukan dalam mengenalpasti keutamaan dan hala tuju bajet kerajaan negeri Selangor yang akan datang.

Orang ramai dijemput hadir untuk berkongsi pandangan bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhubung dengan unjuran Bajet 2010 dan strategi pelaksaannya baik di peringkat persekutuan mahupun di negeri.

KEPERITAN SEMENTARA SEBELUM PEMBAHARUAN

KENYATAAN MEDIA

30 OKTOBER 2009

KEPERITAN SEMENTARA SEBELUM PEMBAHARUAN, AMK KEADILAN BERTERIMA KASIH ATAS TEGURAN DAN HARAPAN TINGGI RAKYAT

Angkatan Muda Keadilan Malaysia berterima kasih kepada semua pihak atas teguran dan tumpuan yang diberi ke atas perselisihan dalaman KEADILAN. Rombakan semula lapisan pimpinan kebelakangan ini sebenarnya merupakan keperitan sementara sepanjang menuju pembaharuan. Ia juga merupakan perjalanan yang akan dilalui oleh setiap parti politik. Harapan tinggi rakyat akan diterima dengan sepenuh hati oleh KEADILAN. Para pengundi yang memberi kepercayaan kepada KEADILAN tidak akan dikecewakan.

AMK juga bersetuju dengan iltizam YAB Menteri Besar Selangor untuk mengambil tindakan atas ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham. Sebenarnya, keinginan Badrul Hisham melompat adalah di dalam jangkaan kami. Sering kali KEADILAN meminta beliau memberi kerjasama dan berkhidmat untuk rakyat secara bersungguh-sungguh, tetapi dukacitanya, dia bukan sahaja tidak melaksanakan tanggungjawab dia malah lompat keluar parti KEADILAN dan memihak kepada BN.

AMK menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dan tidak bertanggungjawab. Ini juga selaras dengan keputusan PAS untuk menyerahkan isu PAS Selangor kepada Jawatankuasa Disiplin parti tersebut. Kita mesti memastikan kestabilan kerajaan Negeri Selangor agar Pakatan Rakyat dapat menumpukan perhatian untuk merealisasikan dasar demokrasi dan memanfaatkan rakyat.

Berkenaan dengan salah faham dan ketidakpuasan hati akibat pertukaran pucuk pimpinan di Sabah, Presiden KEADILAN telah memberi jaminan bahawa beliau akan mengamalkan sikap terbuka dan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat untuk mencapai persetujuan. Oleh yang demikian, adalah diharapkan pimpinan parti dan pihak berkenaan dapat bersatu hati menyelesaikan perselisihan faham supaya dapat memperjuangkan agenda reformasi parti bersama-sama.

Seperti parti politik lain yang baru ditubuhkan, AMK mengakui bahawa KEADILAN masih sebuah parti yang muda. Lebih-lebih lagi, KEADILAN berhadapan dengan tindasan, ugutan dan muslihat BN yang mempunyai sumber kewangan dan jentera negara yang kuat. Kebangkitan KEADILAN sebagai parti yang mampu menggantikan BN juga menjadikannya sasaran utama pihak BN.

Selepas tsunami politik pada 8 Mac, KEADILAN sedang mencuba sedaya-upaya untuk mentransformasikan parti supaya memberi lebih peluang kepada golongan muda. Seperti apa yang dilaporkan dalam ”Off the Edge”, liputan terhadap beberapa tokoh muda KEADILAN yang mempunyai pandangan tersendiri terhadap parti dan negara telah mendapat sambutan baik daripada kalangan masyarakat. Oleh yang demikian, kita jangan mengadakan tanggapan salah terhadap KEADILAN sedangkan yang mereput hanya sebilangan kecil sahaja.

LEE Khai Loon

Ketua Penerangan

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

30hb Oktober 2009

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar ADUN Pelabuhan Klang,YB Badrul Hisham Abdullah untuk meletakkan jawatannya sebagai ADUN dengan kadar segera. Ini adalah untuk membolehkan seorang wakil rakyat baru dipilih setelah beliau gagal melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat dengan baik.

AMK Selangor amat menghargai ketegasan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam isu YB Badrul Hisham di mana ADUN Pelabuhan Klang ini telah gagal menjalankan amanah rakyat yang diberi dan pelbagai masalah dan kerenah yang ditimbulkannya. Tindakan dan ketegasan Menteri Besar Selangor ini jelas mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah amat penting dan terutama daripada kepentingan politik semata-mata.

AMK Selangor membuat desakan kuat ini agar ADUN Pelabuhan Klang yang menang dalam Pilihanraya Umum ke-12 menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat apabila mengistiharkan dirinya keluar daripada PKR perlu melepaskan jawatan ADUN tersebut segera. Tindakan beliau tidak melepaskan jawatan ADUN tersebut dan menyokong pembangkang Barisan Nasional di Selangor seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai harga dan maruah yang tinggi lagi.

AMK Selangor merasakan tindakan beliau semasa mengistiharkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas dengan menyerang kepimpinan tinggi PKR dan kerajaan Selangor, jelas membuktikan agenda perancangan busuk dan keji pihak tertentu untuk menjejaskan keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan tindakan beliau seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang sebelum ini memenangi jawatan ADUN Pelabuhan Klang menggunakan platform Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat keseluruhannya dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang sendiri sudah mengetahui segala-galanya berkenaan kegagalan total YB Badrul Hisham dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat sejak sekian lama. Malahan kepimpinan parti dan juga negeri sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat agar melaksanakan tugas dengan baik namun beliau sehingga kini gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharap-harapkan.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang mendatangkan terlalu banyak bermasalah,karenah dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pengundi dalam melaksanakan tugas dan amanah perlu dihumban jauh-jauh daripada menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Dengan keluarnya YB Badrul Hisham daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan dan mutu kerja yang cemerlang,bertanggungjawab dan bersih. Tindakan beliau keluar dan menyokong UMNO/BN membuktikan dan menjelaskan lagi itulah wadah politik yang amat sesuai dengan imej kini UMNO/BN yang penuh dan terpalit dengan pelbagai skandal,penyelewengan,rasuah dan jenayah politik.

AMK Selangor yakin bahawa imej positif Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat mendadak pada pandangan rakyat yang berharap pemimpin yang menerajui Selangor adalah kalangan yang bersih,bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh berhemah dan komitmen. Isu ini juga sebenarnya memberikan gambaran bahawa menjelang PRU-13 ini,Pakatan Rakyat akan diwakili oleh pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mempunyai rasa amanah dan integriti yang amat tinggi kepada rakyat untuk memimpin arus perubahan besar negara kelak.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang berhak memimpin perubahan perlu mempunyai jatidiri,integriti dan komitmen yang kuat untuk memimpin rakyat dan perubahan. Pemimpin yang lemah,rasuah,mempunyai pelbagai masalah serta kerenah, tidak mempunyai jatidiri dan perjuangan yang kuat sepatutnya tidak layak untuk bersama-sama dengan arus perjuangan rakyat semuanya.

AMK Selangor melihat pelbagai ‘kemelut politik kecil’ yang disensasikan oleh media yang melanda khususnya Parti Keadilan Rakyat akan mematangkan lagi proses pengalaman politik PKR yang baru berusia 10 tahun. Sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan langsung dalam PRU-12 tetapi membuat kejutan dan tsunami politik besar bersama-sama rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP atas semangat dan kesedaran memuncak rakyat.

AMK Selangor berharap agar rakyat terus memberikan keyakinan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan membawa perubahan. Kejayaan parti baru seperti Democratic Parti of Japan (DPJ) yang menumbangkan seteru kuat politik daripada Liberal Democratic Parti (LDP) yang memerintah selama 50 tahun di Jepun membakar semangat dan iltizam baru seluruh rakyat dan pendukung Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU-13 ini.

AMK Selangor menaruh harapan yang amat tinggi bahawa semangat dan dokongan rakyat di Selangor akan terus meningkat kerana terbukti kini bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan individu pemimpin yang mampu menjalankan tugas, amanah, mempunyai integriti dan jatidiri unggul untuk memimpin arus perubahan dan kepimpinan negeri.

Ini jelas berbeza dengan dasar pemilihan kepimpinan UMNO/BN yang akan terus mendambakan pemimpin yang rasuah, menyeleweng kuasa dan penuh dengan pelbagai skandal keji dan jijik. Memang layak YB Badrul Hisham untuk menghuni parti seperti ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk karam dan pupus daripada kamus politik negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi pendirian tegas mencabar YB Badrul Hisham jika masih mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi untuk segera melepaskan jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan bertanding semula atas tiket sendiri dalam pilihanraya kecil yang diadakan kelak.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor