Tuesday, December 15, 2009

Operasi Roboh Kampung Tanah Lapang Ditangguh




Operasi meroboh rumah di Kampung Tanah Lapang di Sentul yang dijadual hari ini, telah ditangguh seminggu lagi hasil perbincangan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk setempat.
Tempoh tersebut diberikan kepada penduduk yang sudahpun mengambil kunci untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan kira-kira 20 minit bermula daripada jam 10 pagi tadi.Penduduk kampung diwakili N Manikam selaku ketua kampung manakala DBKL pula diwakili pegawai penguatkuasa Othman Ismail bahagian operasi . Ahli parlimen Batu, Tian Chua turut sama dalam rundingan tersebut.Turut hadir ialah ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, wakil parti komponen BN dari MIC dan IPF.
DBKL juga bersetuju membenarkan beberapa penduduk yang mahu terus tinggal di situ sehingga Hari Raya Cina terutama kepada penduduk yang berketurunan Tiong Hua.Difahamkan terdapat sembilan keluarga berketurunan Tiong Hua yang menetap di kampung tersebut.Bagaimanapun, mereka diberitahu bahawa tiada lagi lanjutan masa akan diberikan selepas itu.DBKL sebelum ini bercadang memindahkan penduduk kampung terbabit - yang mendakwa telah menetap di situ sejak seratus tahun lalu - bagi menjalankan projek penghijauan bandar.
Sementara itu, sejak awal pagi ini, kira-kira 30 penduduk kampung sudah berkumpul di kawasan terbabit, berdekatan stesen LRT Sentul Timur.Pihak DBKL pula membawa kira-kira 40 anggota penguatkuasa mereka. Hanya kelihatan sebuah jengkaut dibawa ke kawasan tersebut. Beberapa anggota polis turut hadir.Manakala Tian Chua sewaktu memberi penjelasan kepada penduduk sejurus selepas selesai rundingan dengan DBKL berkata kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan hijau dan bukan untuk tujuan pembangunan.Sehubungan itu, katanya, beliau akan bertemu lagi dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan bagi mendapatkan ketetapan tentang kedudukan kampung tersebut.
Katanya, beliau akan menemui Saravanan di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang.Tian Chua juga berharap DBKL tidak akan merobohkan rumah-rumah di situ secara paksa tanpa sebarang rundingan.Menurutnya, , beliau juga akan bertemu dengan penduduk yang belum mendapat kunci pada esok atau Jumaat ini.Katanya, DBKL juga menawarkan pengangkutan kepada penduduk untuk berpindah ke PPR Batu Muda yang terletak dalam parlimen Batu.

No comments: