Monday, April 30, 2012

TAHNIAH KEPADA PEJUANG RAKYAT!

Angkatan Muda keADILan Cabang Batu ("AMK Batu") ingin memanjatkan setinggi-tinggi syukur dan ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada lebih 300,000 hadirin yang mempedulikan nasib Rakyat dengan menyertai perhimpunan TERBESAR dalam sejarah Malaysia sejak demonstrasi 'Haram' oleh UMNO apabila menentang Malayan Union.

AMK Batu juga ingin merakamkan setinggi-tinggi SYABAS kepada Ahli Parlimen Batu YB Tian Chua yang 'sepertimana biasa' turut diangkut dan diambil kenyataan di markas latihan Polis di PULAPOL. Turut ditahan adalah Prof. Abdul Aziz Bari, bekas professor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pengorbanan para demonstran menuntut pilihanraya yang bersih dan adil tidak akan dilupakan, malah perhimpunan bersejarah ini ternyata menjadi pencetus ataupun 'Watershed Event' yang bakal merubah lanskap politik Malaysia (disamping memaksa Najib Razak memikirkan semula tarikh pilihanraya).

Insiden provokasi Polis ternyata mencetuskan kemarahan Rakyat yang telah tersedia tersinggung derita akibat kenaikan harga barang ruji, kos hidup disamping gaji dan pendapatan yang tidak meningkat.

UMNO dan BN harus sedar bahawa tindakan populis mereka tidak membuahkan hasil, malah jika dikira jumlah ratusan ribu yang PASTInya telah menerima 'rasuah politik' seperti BR1M, KR1M dan selainnya, TURUT SERTA dalam perhimpunan. Nyata, mereka merasakan buah tangan tersebut adalah milik mereka, namun mereka TETAP mahu UMNO dan BN hancur luluh.

Kami sebagai sayap politik yang menyokong tuntutan gabungan NGO dalam BERSIH 3.0, mengucapkan tahniah kepada semua, dan mengusulkan, sekiranya UMNO/BN masih memilih untuk membutakan mata, memekakkan telinga, agar BERSIH 4.0 diadakan pula.

Salam BERSIH 3.0!

HIDUP RAKYAT! Semarakkan Perjuangan!


Sudah tiba masanya untuk kita
Bersama berkumpul dalam satu cita
Menunjukkan sedih pilu Rakyat  semua
Yang dahagakan kebenaran!
Yang dahagakan ketelusan!
Yang dahagakan keadilan dalam pilihanraya!

Seluruh diaspora Malaysia sepertimana dahulukala
Dalam negeri mahupun luar negara
Bersatu hati dengan impian yang nyata
Berhimpun lagi pada esok hari 

Baju kuning yang sama pelbagai versi
Bergerak bersama bersatu hati
Meninggalkan keluarga demi 
Yang tua, Yang muda, Yang sakit, Yang lemah
Bersama semua DUDUK DAN BANTAH!

Anak ku sama serupa sahaja
Anwar Ibrahim katamu ku ulang semula
India, Melayu dan yang Cina
Semua bersama mengangkat suara!

KAMI BANTAH!
KAMI BANTAH!
KAMI BANTAH!

Rona-rona kuning bertaburan
Dipaksa lari bertempiaran
Namun hati teguh berdiri
NIATKU BUKAN UNTUK PERIBADI!

New Zealand, Jepun termasuk Arab Saudi
Sokongan tidak berbelah bahagi
Demi negara dan masa hadapan
Aku berdiri demi keadilan!

Puncak Gunung Everest sudah ditawan
Sejuk, panas khatulistiwa semua berperanan
menunjukkan kasih dan sayang kepada
Negara Malaysia Tanah Airku Tercinta!

Hentikan kezaliman, penindasan, penipuan
Hentikan samseng, tiga-line dan bunohan
Agar Rakyat dapat merasa
Kemewahan negara sementara ada

AYUH! kita kentalkan semangat
AYUH! kita naikkan kalimat
Sakti yang menggegarkan, mengempitakan, mengasyikkan
HIDUP RAKYAT! Semarakkan Perjuangan!

Oleh:

Amir Hamzah bin Amha
www.puterakemuning.com

Thursday, April 26, 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bertemu YAB Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Melihat kepada perkembangan hari ini, isu pendidikan percuma cukup luas dibicarakan. Bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara.

AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.Justeru AMK berhasrat mengadakan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan tujuan berbicara dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Satu surat kunjungan hormat telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar. Maka, AMK dengan penuh harapan agar YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai ruang untuk berdiskusi. AMK percaya dan yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor. YAB mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

Kami, di peringkat AMK mewakili golongan anak muda akan sentiasa berada di belakang kepimpinan YAB dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor. Oleh yang demikian, Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional.


Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan
Julailey Jemad
Kenyataan Media Angkatan Muda Keadilan Malaysia
26 April 2012

Bersih 3.0 : Datuk Bandar Kuala Lumpur Jangan Angkuh 

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam beberapa respon beliau mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012. Terdahulu, beliau menyatakan penolakan kelulusan kepada Bersih untuk menggunakan Dataran Merdeka kerana kononnya perhimpunan ini bukanlah program bersifat nasional dan berteraskan politik. 

AMK berharap Datuk Bandar tidak lupa apabila pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka juga menjadi medan pelancaran logo 1Malaysia yang jelas merupakan kempen politik berterusan Umno-BN sehingga kini. Jika dibandingkan dengan Bersih, motif Bersih lebih jelas dan transparen : memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan telus. 

Solidariti telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di luar negara, malahan masyarakat antarabangsa seantero dunia turut bersama-sama menyatakan sokongan mereka ke atas Bersih 3.0 ini. Terkini pada 25 April 2012, Datuk Bandar sekali lagi memberi amaran kepada Bersih bahawa tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini. Alasan yang diberi ialah Dataran Merdeka berada di bawah tangungjawab DBKL melalui kuasa Datuk Bandar melalui undang-undang yang digunapakai sejak 1992 dan ini, kononnya, jelas bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011. 

AMK melihat kenyataan Datuk Bandar ini jelas bersifat 'mala-fide', dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan apa jenis program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka. Malah, kenyataan ini juga sebenarnya menimbulkan pertikaian apabila beliau kemudiannya menawarkan beberapa lokasi lain. 

Apa bezanya jika Dataran Merdeka menjadi lokasinya? Mengapa perlu perubahan lokasi dicadangkan di saat-saat terakhir? Apakah mereka khuatir jika Dataran Merdeka menjadi saksi gelombang kuning kebangkitan rakyat menolak penyelewengan sistem pilihanraya Malaysia? 

AMK melihat ini jelas merupakan sekatan-sekatan politik yang dilakukan oleh Umno-BN, di mana kemungkinan suspek terbesar ialah Menteri Wilayah Persekutuan dengan "memperkudakan" institusi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL untuk menghalang dan mencetuskan provokasi awal ke atas Bersih 3.0. 

AMK menggesa agar Datuk Bandar tidak bersikap angkuh dengan siri-siri kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka untuk berhadapan dengan ketidakpuasan hati rakyat. AMK turut mendesak agar Perdana Menteri, sekiranya benar beliau komited dengan agenda wassatiyyah, tidak bersikap jumud dengan menyalahgunakan agensi kerajaan seperti DBKL untuk menghalang rakyat menyuarakan pendapat mereka. Adalah amat malang, apabila agenda membersihkan sistem pilihanraya nasional daripada elemen penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga penggunaan pengundi-pengundi yang diragui statusnya. 

Tindakan menghalang Bersih 3.0 hanya membuktikan bagaimana pihak-pihak ini sanggup menggunakan segenap kuasa yang mereka ada - termasuk menghalalkan penyelewengan pilihanraya - demi memastikan Umno-BN terus berkuasa.

Friday, April 13, 2012

Bersih pertikai larangan berarak ke Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 13 April: Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mempersoalkan kenyataan polis yang melarang peserta perhimpunan Bersih 3.0 berarak ke Dataran Merdeka.

“Anda fikir peserta akan menaiki helikopter? Mereka harus berjalan kaki, atau memandu,” katanya.

Katanya lagi, Bersih akan menetapkan laluan untuk membantu peserta ke Dataran Merdeka, dan peserta mesti mematuhinya bagi mengelakkan sebarang masalah.

Beliau juga menyangkal dakwaan perhimpunan itu akan mencemarkan status Dataran Merdeka sebagai warisan sejarah.

“Setiap minggu, pelbagai pihak mengadakan acara dan aktiviti di Dataran Merdeka, jadi mengapa hanya kami yang mendapat halangan?

“Adakah hanya kerana pihak berkuasa tidak suka dengan apa yang kami suarakan?” soalnya lagi.

Ambiga juga menyuarakan keyakinan perhimpunan kali ini akan berjalan dengan lancar dengan kerjasama polis.

“Seperti juga semasa perhimpunan sebelumnya, kami bertegas akan menyerahkan sendiri mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Bersih menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan tema ‘Duduk Bantah’ di Dataran Merdeka 28 April ini, ekoran tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk Pembaikan Pilihan Raya yang tidak memenuhi lapan tuntutan mereka.

Selain Dataran Merdeka, Bersih 3.0 juga akan diadakan di beberapa lokasi lain di Malaysia, dan 33 buah bandaraya di seluruh dunia.

Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

Pindaan Auku bercanggah kampus demokrasi dan autonomi

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengkritik tindakan kerajaan pusat yang membuat pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak membawa perubahan yang sebenar, malah bercanggah dengan prinsip kampus demokrasi dan autonomi pelajar.

Pindaan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan permintaan dan pendapat umum untuk mansuhkan AUKU, malah mencengkam kebebasan akademi dan mahasiswa serta meneruskan dasar campur tangan politik daripada pemerintah ke atas pentadbiran universiti.

Sebenarnya pindaan yang dikemukakan hanya untuk meredakan kemarahan rakyat semata-mata khasnya Pilihanraya Umum Ke-13 yang kian dekat. Pindaan ke atas Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar mendaftar sebagai ahli dalam parti politik tetapi melarang politik parti ke dalam kampus adalah bercanggah diri dan tidak masuk akal.

Kerajaan telah menunjukkan keyakinan diri yang lemah dan tidak berwibawa dalam menangani pindaan AUKU. Pindaan tersebut adalah ketinggalan masa serta membongkarkan bahawa kerajaan pusat tidak berupaya berdepan dengan golongan mahasiswa yang berfikiran bebas serta kritikal.

AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU tidak mengembalikan kuasa kepada golongan akademik dan mahasiswa. Pihak universiti masih kekal dengan kuasa menafsir undang-undang dan menjatuhkan hukuman. Samada sesuatu persatuan/aktiviti adalah sah atau haram, memenuhi kepentingan universiti atau tidak, semuanya tertakluk di bawah tafsiran pihak universiti.

Mahkamah universiti yang tertutup atau ‘kangaroo court’ masih dikekalkan dan diguna untuk menghukum mahasiswa yang lantang serta kritikal terhadap pihak universiti atau kerajaan. Kesemua ini adalah bercanggah dengan hak asasi manusia serta prinsip kampus demokrasi.

AMK berpendapat bahawa sekiranya kerajaan pusat ingin membina imej menepati janji dan transformasi Perdana Menteri Najib, maka janganlah mengurus universiti seperti cara mengurus tadika atau melayan mahasiswa seperti budak-budak kecil. Akibat daripada itu, matlamat transformasi tidak akan tercapai malah menjadi bahan jenaka orang ramai.

Oleh itu, AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU yang dibuat oleh kerajaan bukan sahaja tidak membawa sebarang makna kepada kampus demokrasi, malah tidak bertepatan dengan permintaan rakyat untuk menjalankan reformasi yang tulen. Buku Jingga telah menggariskan bahawa bila Pakatan Rakyat menjejaki Putrajaya, maka AUKU akan dimansuhkan. Pakatan Rakyat akan melaksanakan kampus demokrasi serta autonomi pelajar.

LEE KHAI LOON

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Thursday, April 12, 2012

AMK Berpendapat Kerajaan UMNO/BN Tidak Ikhlas Dalam Menegakkan Hak Asasi Manusia

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
12 April 2012

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon berpendapat bahawa Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menunjukkan kerajaan tidak ikhlas dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia malah terdapat unsur penipuan dalam proses transformasi yang diwar-warkan oleh UMNO/BN.

Walaupun Perdana Menteri seringkali bangga dengan ‘tepati janji’, tetapi dengan pindaan Kanun Keseksaan yang masukkan kesalahan berhubung kegiatan yang mengancam demokrasi berparlimen serta pindaan AUKU yang benarkan pelajar berpolitik tetapi mengharamkan politik parti dalam kampus adalah usaha yang mengelirukan. Kesemua usaha tersebut adalah taktik politik retorik murahan untuk mengaut sokongan rakyat.
Dengan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang masih mengekalkan unsur-unsur kezaliman di mana tahanan tanpa bicara, serta memberi kuasa mutlak kepada polis untuk mengumpul bahan bukti serta memintas atau gangguan maklumat komunikasi tanpa waran mahkamah.

Maka, perubahan undang-undang yang dijalankan oleh kerajaan telah menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat sivil serta badan-badan NGO. Mereka berpandangan bahawa kerajaan ingin mengekang ruang kebebasan rakyat serta memperluaskan kuasa untuk teruskan matlamat menjajah rakyat.

Dalam pindaan Kanun Keseksaan yang memperkenalkan 13 peruntukan khasnya Seksyen 124B dan 124C yang menghukum mana-mana individu, penerbitan atau penyebar maklumat yang terlibat dalam kegiatan mengancam demokrasi berparlimen adalah 20 tahun manakala hukuman bagi kesalahan cubaan melakukan perkara itu adalah 15 tahun.

Pindaan tersebut seolah-olah memberi kelulusan menyeluruh (blanket approval) kepada pemerintah untuk menafsirkan kegiatan mengancam demokrasi berparlimen. Tindakan tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara dan maklumat, malah mengekang kebebesan teknologi maklumat yang sedia ada di Malaysia.

AMK menegaskan Rang Undang-undang baru serta pindaan yang dibentangkan oleh kerajaan adalah bertentangan dengan hasrat masyarakat sivil yang berjuang untuk menegakkan hak asasi manusia serta demokrasi.

Walaupun kerajaan UMNO/BN seringkali menyatakan bahawa mereka telah banyak berkompromi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia, namun apabila diteliti dengan isi kandungan rang undang-undang masih terdapat banyak unsur yang zalim serta penipuan yang cuba mengelirukan rakyat.

Oleh itu, AMK menyeru semua ahli parlimen dari pemerintah atau pembangkang perlu mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dan rakyat berlandaskan konsep ‘negara yang paling demokrasi di dunia’ yang diutarakan oleh PM Najib Razak sendiri.

Semua Ahli Parlimen diphon agar tidak meluluskan rang undang-undang dan pindaan akta tersebut dalam keadaan tergesa-gesa. Perbincangan serta perbahasan yang menyeluruh perlu diadakan sebelum kelulusan dibuat. Janganlah mempergadaikan asas demokrasi dan kebebasan yang telah dibina sejak Kemerdekaan Malaysia.

Wednesday, April 4, 2012

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kedah Sempena Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0 6 April 2012 (Jumaat)

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kedah
Sempena Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0
6 April 2012 (Jumaat)

1) 5.00 ptg – Perasmian Pusat Komuniti PKR Alor Setar & Hi-Tea

Lokasi: No 172-I, Tkt 2, Jln Putra (Sebelah Sentosa Mall), Alor Setar

2) 7.15 -8.30 mlm – Solat & Tazkirah Maghrib

Lokasi: Masjid Tengku Ahmad Tajuddin (Masjid Lama), Kuala Kedah

3) 8.00 – 12.00 mlm – Majlis Makan Malam

Lokasi : Dewan Sek Men Keat Hwa, Alor Setar.

4) 9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0

Lokasi : Kompleks Sukan Hijau Kuning, Alor Setar

5) Penceramah:

i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

ii. YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak

iii. YB Mahfuz Omar

iv. YB Teng Chan Kim

v. YB S Manikumar

vi. YBhg A Samad Said (Sasterwan Negara)

vii. YBhg Maria Chin Abdullah

viii. YBhg Dato’ Dr Toh Kin Woon

BERSIH 3.0 - SELURUH NEGARA AND LOKASI UTAMA DUNIA

Bersih himpunkan 500,000 untuk ‘Duduk-Bantah’ 28 April

KUALA LUMPUR 4 April: Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) mensasarkan 500,000 warganegara akan turun ke Dataran Merdeka 28 April ini, untuk menyertai demonstrasi Bersih 3.0, bertemakan ‘Duduk Bantah’.

Bersih dalam kenyataannya berkata berkata, semua rakyat dan ahli-ahli parti politik yang cintakan negara dijemput hadir bersama-sama menyertai himpunan itu.

“Ini adalah saat untuk semua warga, terutamanya yang berkuasa memikirkan apakah legasi dan masa depan yang bakal ditinggalkan kepada generasi akan datang.

“Rakyat akan terus menyuarakan bantahan terhadap penipuan dan manipulasi yang berterusan dalam sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan Umno BN,” kata Bersih dalam kenyataannya.

Himpunan kali ini adalah yang ketiga selepas Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Dijangka berlangsung serentak di beberapa lokasi lain dalam negara dan seluruh dunia, himpunan ini dibuat ekoran Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) dan kerajaan Umno BN tidak mengambil serius tuduhan penipuan dan penyelewengan dalam daftar pemilih.

Selain daripada pengumuman itu, Bersih juga menuntut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya meletak jawatan kerana masih gagal membersihkan daftar pengundi yang meragukan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga gagal mendapatkan keyakinan rakyat. Justeru, kami mendesak pemimpin-pemimpin tertinggi SPR untuk meletakkan jawatan,” ujarnya.

Katanya lagi, Bersih juga menuntut reformasi pilihan raya mesti dilaksanakan sebelum PRU akan datang, dan kehadiran pemerhati antarabangsa diterima untuk memerhati perjalanan pilihan raya.





Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

USUL PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

Pindaan kepada Usul oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menurut Peraturan Mesyuarat 30 (1).

Kami, YB Mohamed Azmin Bin Ali (Gombak), YB Loke Siew Fook (Rasah), YB Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli (Kuala Krai) ingin mencadangkan pindaan kepada usul tersebut seperti berikut :

"Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 86 (5) dan keputusan Usul yang diluluskan oleh Dewan ini pada 3 Oktober 2011, maka Penyata Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dibentangkan di atas meja Mesyuarat di dalam Dewan ini sebagai Kertas Dewan No. DR. 1 Tahun 2012 hendaklah diterima dan dipersetujukan dengan memuatkan satu penyata minoriti yang dibentangkan oleh YB Gombak, YB Rasah dan YB Kuala Krai."


YB Mohamed Azmin Ali YB Loke Siew Fook YB Dr Mohd Hatta Md Ramli
Ahli Parlimen Gombak Ahli Parlimen Rasah Ahli Parlimen Kuala Krai

PENYATA MINORITI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS BERHUBUNG DENGAN PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

sebarkan - BIRO PENERANGAN AMK MALAYSIA

PENYATA MINORITI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS BERHUBUNG DENGAN PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

1.0 Pendahuluan
Ketiga-tiga wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya iaitu Ahli bagi kawasan Gombak YB Mohamed Azmin Ali, Ahli bagi kawasan Rasah YB Loke Siew Fook dan Ahli bagi kawasan Kuala Krai YB Dr Hatta Md Ramli telah mencadangkan supaya satu Penyata Minoriti dilampirkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa semasa mesyuarat terakhir Jawatankuasa dijalankan pada 29 Mac 2012. Namun, cadangan tersebut telah ditolak dengan satu undian belah bahagi. Keputusan ialah 3 undi bersetuju dengan cadangan tersebut (Gombak, Rasah dan Kuala Krai) manakala 6 undi tidak bersetuju (Kota Marudu, Kangar, Alor Gajah, Kapit, Hulu Selangor dan Wangsa Maju). Adalah mustahak untuk ditegaskan bahawa sepanjang perjalanan dan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, ahli jawatankuasa dari Pakatan Rakyat telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyempurnakan tugas mereka.
Penyata Minoriti adalah penting untuk memberikan ruang kepada suara minoriti dalam Jawatankuasa melaporkan pandangan dan cadangan mereka yang tidak dipersetujui oleh majoriti dalam Jawatankuasa.Walaupun tidak mendapat undi majoriti, namun cadangan dan pandangan minoriti dalam sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas wajib direkod dan dilaporkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa.
Tujuan 3 wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa tersebut mencadangkan Penyata Minoriti ialah kerana kami berpendapat perkara yang paling asas dan penting dalam soal penambahbaikan sistem pilihanraya iaitu memastikan Daftar Pemilih yang bersih dan telus masih belum mendapat perhatian yang sepatutnya dan tindakan yang serius daripada pihak Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR). SPR gagal memberikan komitmen yang penuh untuk memastikan segala kepincangan dalam Daftar Pemilih akan diatasi dan menjamin satu Daftar Pemilih yang bersih yang bakal digunakan pada Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti.

2.0 Isu-isu berkenaan Daftar Pemilih yang gagal ditangani oleh SPR

2.1 Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen
Di antara bulan Mac 2008 dan suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan seramai 31,294 pemilih keluar dari kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen dimana mereka mengundi pada PRU ke-12 tanpa keizinan mereka. Alasan yang diberikan oleh SPR ialah mereka menjalankan proses memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya ke kawasan yang sepatutnya. SPR menggunakan peruntukan undang-undang di dalam seksyen 7 Akta Pilihan Raya iaitu memperbetulkan kawasan daerah mengundi dan lokaliti di dalam aktiviti belah bahagi untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.
Prinsip Belah Bahagi di bawah tajuk Sempadan Pilihanraya jelas menyatakan:
"Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihanraya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH sama sekali melampaui sempadan Bahagian Pilihanraya Negeri apatah lagi Parlimen termasuklah urusan untuk mencantumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 bahagian Pilihan Raya yang berlainan."
Aduan rasmi daripada YB Ahli Parlimen Subang kepada SPR berhubung isu tersebut yang melibatkan kawasan Parlimen Subang adalah dilampirkan dalam Apendiks 1.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang mereka telah lakukan adalah menyalahi peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan serta-merta untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas dalam proses tersebut kebahagian pilihanraya DUN dan Parlimen yang mereka mengundi pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.2 Isu berkenaan 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR
Pada penghujung tahun 2011, SPR telah mempamerkan 42,000 nama pengundi ragu yang dikatakan status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh JabatanPendaftaran Negara. Proses pameran tersebut telah tamat beberapa bulanyang lepas namun sehingga kini, SPR gagal membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan membersihkan senarai tersebut dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu tersebut dalam tempoh 15 hari daripada Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.3 Nama pengundi yang melebihi 100 tahun
Dalam Daftar Pemilih Induk SPR, terdapat 65,000 pengundi yang berumur 85 tahun keatas dan lebih 1,000 pengundi yang berumur lebih 100 tahun! Terdapat 19 nama pengundi yang lahir sebelum tahun 1900. Walaupun kebanyakan pengundi yang berumur 85 ke atas dipercayai masih hidup namun pengundi-pengundi yang melebihi 100 tahun adalah sangat diragui.
Contoh seorang pengundi yang lahir pada tahun 1853 (berumur 159 tahun sekarang) adalah dilampirkan dalam Apendiks 2.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama-nama warga emas yang berumur lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari.

2.4 Senarai pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina
Terdapat kajian yang mendapati bahawa lebih 15,000 nama pengundi yang didaftarkan dengan menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina. Maksudnya ialah terdapat nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor genap (yang sepatutnya untuk wanita) didaftarkan sebagai pengundi lelaki.Terdapat juga kes nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor ganjil (yang sepatutnya untuk lelaki) didaftarkan sebagai pengundi perempuan.
Contoh-contoh kes tersebut adalah dilampirkan dalam Apendiks 3.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari dari Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.5 Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos
Satu kajian bebas ke atas Daftar Pemilih mendapati bahawa terdapat lebih kurang 4,500 nama isteri kepada anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Isteri kepada anggota polis sepatutnya tidak layak menjadi pengundi pos. SPR telah memaklumkan kategori anggota keselamatan yang layak menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan mereka serta anggota polis sahaja.
Contoh senarai isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos adalah dilampirkan di Apendiks 4.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam Daftar Pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.



3.0 Rumusan
Makanya keputusan kami untuk tidak memperakui Laporan Akhir Jawatankuasa sebagai laporan yang konklusif serta menekankan keperluan dibentangkan bersama penyata minoriti adalah kerana kegagalan SPR sehingga kini untuk bertindak sesuai dengan mandat Perlembagaan demi memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil. Malah sepanjang perjalanan mesyuarat Jawatankuasa, berdasarkan penjelasan yang diberikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah meyakinkan kami bahawa SPR kian hilang kewibawaan menyempurnakan mandat tersebut secara bebas dan adil.





YB Mohamed Azmin Bin Ali YB Loke Siew Fook YB Dr Mohd Hatta Md Ramli
Ahli Parlimen Gombak Ahli Parlimen Rasah Ahli Parlimen Kuala Krai

Tarikh : 2 April 2012