Saturday, January 9, 2010

KENYATAAN MEDIA-AMK BATU KECAM SERANGAN KEATAS GEREJA-GEREJA


KENYATAAN MEDIA
AMK BATU KECAM SERANGAN KEATAS GEREJA-GEREJA


AMK BATU kesal dan mengecam sekerasnya perbuatan siri serangan berasingan keatas tiga (3) buah gereja di sekitar Lembah Klang sepanjang 24 jam lalu dan menganggap insiden ini sebagai usaha terdesak biadap pihak tertentu yang sengaja menimbulkan huru-hara bagi agenda berkepentingan politik sempit.

AMK BATU turut sepakat bahawa kemungkinan perbuatan tidak bertanggungjawab melibatkan bahan api berbahaya ini sebagai desakan paksa mencabar kematangan kontrak sosial warga Malaysia berbilang agama dan bangsa. Kejadian yang tampak tiada budaya hormat ini amatlah memalukan dan bercanggah nilai dengan mana-mana agama dan kepercayaan masyarakat sivil.

AMK BATU juga melihat vandalisme tidak bermoral ini sebagai bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak berterusan gagal dalam perlaksanaan gagasan 1Malaysia. Malah sebaliknya mengesahkan pentadbiran Najib Razak adalah sebenarnya superfisial dan tiada kerangka utuh dalam membina pemikiran seterusnya membentuk masyarakat lebih berintegriti. Isu sensitif melibatkan sentimen agama dan budaya seolah-olah tidak dipedulikan dan tidak ditangani dengan kebijaksanaan.

AMK BATU mengkritik pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dilihat seakan lambat dan lemah bertindak berbanding tindakan sekuriti perhimpunan-perhimpunan tertentu yang lain. Banyak aspek kawalan yang sepatutnya boleh dipantau tidak dilakukan segera. Ini boleh dilihat apabila serangan terhadap gereja-gereja terlibat seperti dirancang dengan rapi dan amat ekstrem dalam suasana semasa yang sepatutnya tahap keselamatan lebih ketat dilaksanakan. Bagi mengembalikan keyakinan, siasatan tuntas dan kemas oleh PDRM perlu dilakukan tanpa lengah lagi. Begitu juga jaminan terhadap rumah ibadah agama Islam yang dikhuatiri menjadi 'kambing hitam' seterusnya pada perlakuan tidak rational ini perlu dipastikan.

AMK BATU bimbang sekiranya episod hitam 8 Januari 2010 ini jika tidak dikawal segera dengan langkah-langkah berkesan akan mengakibatkan kerisauan tahap serius, seterusnya mencetuskan konflik emosi dan mengundang lain-lain tindakan agresif. Ini terutamanya apabila dilihat adanya potensi menganggu kerukunan bermasyarakat dikalangan pola bilangan rakyat beragama Islam dan Kristian yang hampir sama seperti di negeri Sabah. Rakyat Malaysia tidak mahu dalang tidak bertanggungjawab terhadap gereja-gereja ini terus mencetuskan situasi yang lebih parah dan kritikal.

KEMBALIKAN MARUAH RAKYAT !

komited-tulus-perkasa
ROZAN AZEN MAT RASIP
Ketua AMK BATU / Naib Ketua AMK WP

No comments: