Tuesday, March 23, 2010

ADAKAH PILIHANAN RAYA KECIL DI PERLIS???

Petikan dari http://www.malaysiakini.com/news/127256

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan
Abdul Rahim Sabri
Mac 23, 10
2:36pm

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.

Yazid mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta.

"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," katanya.

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.

Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.

Temp
atnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.

Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".

"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak mahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, dilapor mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.


Petikan dari http://www.erapakatan.com/berita/pilihan_raya_kecil_di_perlis/

Pilihan Raya Kecil pertama di Perlis ?
Tuesday, 23 March 2010 2:09 PM
Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Mungkinkah Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama akan berlaku di Perlis dalam masa terdekat?

Terbaru, Menteri Besar (MB) Perlis, Md Isa Sabu, mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Yip Sun Onn.

Menurutnya, BN negeri sedang memujuk agar Adun itu menarik balik hasratnya sekaligus mengelakkan PRK di negeri itu.

Rekod menunjukkan, Adun itu hanya mendapat 1,814 majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac lalu, lebih rendah berbanding PRU pada tahun 2004.

Sekiranya berlaku PRK di kawasan itu, ini merupakan peluang terbaik buat Pakatan Rakyat (PR) khasnya PKR bagi meraih kerusi pertama di negeri Perlis.

Umno Perlis sehingga kini berpecah kepada beberapa puak terutamanya selepas Md Isa Sabu menggantikan Shahidan Kasim sejak 8 Mac 2008.

Petikan dari http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/57227-adun-titi-tinggi-letak-jawatan-bn-sedang-pujuk

KANGAR, 23 Mac — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Perlis Yip Sun Onn dari MCA-BN meletakkan kerusinya berkuat kuasa serta-merta.

Beliau merupakan wakil rakyat pertama dari BN berbuat demikian sejak pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan usaha sedang dibuat untuk memujuk beliau daripada melepaskan kerusi itu ketika ini dan mengubah keputusannya bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Keputusannya, dikatakan ada kaitan dengan rombakan exco Kerajaan Negeri minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya tidak boleh memutuskan apa-apa selagi tidak menerima surat kekosongan daripada Speaker.

“Setakat ini kami belum menerima apa-apa surat lagi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketua MCA Perlis Datin Paduka Chew Mei Fun pula memberitahu keputusan Yip meletak jawatan yang mengejutkan ramai belum dapat disahkan.

“Ia belum muktamad lagi... apa yang beliau lakukan ialah hanya melahirkan hasrat mahu letak jawatan.

“Saya hanya baru menerima satu SMS daripada beliau dan kelihatan keadaan OK. Saya tidak fikir beliau akan berbuat demikian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider kira-kira 3.30 petang tadi.

“Saya berharap dan saya percaya beliau tidak akan berbuat demikian tetapi kini perkara pertama yang perlu dilakukan ialah duduk dan berbincang,” katanya.

Beliau tidak pasti sebab Adun itu meletakkan jawatan.

“Saya ingin tahu apa masalah dia yang sebenar; sama ada disebabkan jawatan exco atau masalah peribadi beliau yang lain,” katanya.

Yip digugurkan sebagai exco kerajaan negeri dan digantikan dengan Adun Indera Kayangan Dr Por Choo Chor Jumaat lalu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengesahkan beliau sudah menerima surat letak jawatan daripada Yip tetapi sedang berusaha memujuknya agar mempertimbangkan keputusan beliau.

“Kami tidak melihat akan ada pilihan raya kecil,” katanya.

MCA memenangi dua kerusi DUN di Perlis.

No comments: